Jumaat, 9 September 2016 | 11:11am

2 lelaki didakwa cederakan Pesuruhjaya Tinggi Sri Lanka

SEPANG: Dua lelaki termasuk seorang pemandu teksi didakwa di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas tuduhan merusuh dan mencederakan Pesuruhjaya Tinggi Sri Lanka ke Malaysia, Ibrahim Saib Ansar di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Ahad lalu. 

A Kalaimughilan, 26 dan V Balamurugan, 34, mengaku tidak bersalah dan memohon dibicarakan sebaik kertas pertuduhan dikemukakan terhadap mereka di hadapan Majistret Muhamad Faizal Ismail.

Berdasarkan kertas pertuduhan, Kalaimughilan dan Balamurugan bersama empat lagi yang masih bebas didakwa merusuh dan mendatangkan kecederaan terhadap Ibrahim Sahib di aras 3, KLIA, jam 3 petang, pada 4 September lalu.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan, yang boleh dihukum penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Mahkamah membenarkan tertuduh, masing-masing diikat jamin RM7,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 7 Oktober ini untuk sebutan semula kes.

Berita Harian X