Rabu, 7 September 2016 | 9:44pm

ASEAN, China komited patuhi CUES


PEMIMPIN negara anggota ASEAN sempena Sidang Kemuncak ASEAN-China Ke-19 di Vientiane, Laos. - Foto Reuters

VIENTIANE, Laos: Pemimpin negara anggota ASEAN dan China hari ini mengesahkan komitmen dalam pematuhan Kod Pertembungan Tidak Terancang Di Laut (CUES) dalam usaha meningkatkan operasi keselamatan bagi pelayaran dan ruang udara di kawasan Laut China Selatan.

Penegasan pemimpin 10 + 1 itu dinyatakan dalam kenyataan bersama sempena Sidang Kemuncak ASEAN-China Ke-19 bagi memperingati ulang tahun ke-25 hubungan dialog antara dua pihak.

Kenyataan bersama itu mempertegaskan persetujuan negara anggota dan China untuk menggunakan prosedur keselamatan dan komunikasi bagi operasi perkapalan dan pesawat jika wujud risiko pertembungan di Laut China Selatan.

"Kami mengesahkan usaha ini menyumbang ke arah komitmen untuk mengekalkan kestabilan dan keamanan di rantau ini, memaksimumkan tahap keselamatan di laut, menggalakkan semangat kejiranan, mengurangkan risiko ketika pertembungan tidak terancang di perairan dan ruang udara serta memperkukuhkan kerjasama dalam kalangan tentera laut," kata kenyataan itu.

Kedua-dua pihak juga bersetuju untuk menerima garis panduan bagi memperkenalkan talian bebas China-ASEAN untuk digunakan jika berlaku kecemasan di wilayah maritim itu.

Pertemuan dengan Perdana Menteri China, Li Keqiang pada sidang kemuncak itu berlaku selepas beberapa minggu China dan ASEAN menetapkan tarikh akhir untuk menyiapkan rangka kerja bagi mengikat Kod Tata Laku menjelang pertengahan tahun depan.

Rangka kerja itu bertujuan menangani pelbagai isu yang dihadapi negara yang menuntut hak maritim di laut berkenaan.

Konflik tuntutan maritim membabitkan empat negara anggota iaitu Brunei, Malaysia, Filipina dan Vietnam selain tuntutan bertindih membabitkan China dan Taiwan.

Sidang kemuncak yang disifatkan berjaya itu berlaku selepas ASEAN dan China menandatangani Deklarasi Tata Laku Pihak-pihak di Laut China Selatan (DOC) 14 tahun lalu.

Julai lalu, Mahkamah Timbang Tara Tetap (PCA) yang berpusat di The Hague, Belanda memutuskan China tidak mempunyai hak tuntutan berdasarkan sejarah ke atas kawasan perairan yang dipertikaikan di Laut China Selatan.

PCA juga mendapati tindakan agresif dan pembinaan infrastruktur Beijing di kawasan bertindih itu melanggar kedaulatan Filipina, sekali gus dilihat sebagai satu kemenangan kepada Manila.

Kenyataan itu juga menyebut semua pemimpin mengiktiraf usaha mengekalkan keamanan dan kestabilan di Laut China Selatan menjadi keutamaan kepada negara anggota dan China, juga masyarakat antarabangsa.

Berita Harian X