Rabu, 7 September 2016 | 7:44pm

Discaj lounge HTF permudah urusan keluar masuk pesakit


PENGERUSI Jawatankuasa Kesihatan negeri, Jafperi Othman beramah mesra dengan ahli keluarga pesakit ketika melawat di Hospital Tuanku Fauziah, hari ini. - Foto Aizat Sharif

KANGAR: Hospital Tuanku Fauziah (HTF) memperkenalkan ruang menunggu khas untuk pesakit yang dibenar pulang dikenali 'discaj lounge' bagi mengatasi tempoh menunggu terlalu lama khususnya bagi pesakit untuk mendapatkan katil di wad.

Ruang khas diperkenalkan sejak April lalu itu bertujuan menempatkan pesakit yang sudah dibenarkan pulang sementara menunggu proses dokumentasi selesai, sekali gus membolehkan katil dikosongkan segera untuk diisi pesakit lain yang memerlukan rawatan.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan negeri, Jafperi Othman, berkata kebiasaannya banyak masa diambil bagi urusan discaj sehingga menyebabkan berlakunya kesesakan akibat kekurangan katil di wad.

"Rekod keluar masuk pesakit di HTF dianggar membabitkan 100 orang sehari dan kebiasaannya waktu diperlukan pesakit baharu untuk masuk ke wad membabitkan antara empat hingga enam jam.

"Melalui penyediaan ruang khas ini, tempoh menunggu pesakit baharu itu dapat dikurangkan hingga kurang daripada dua jam sahaja," katanya ketika melawat Ruang khas terbabit hari ini.

Jafperi berkata, ruang menunggu terbabit cukup selesa kerana mempunyai dua bilik untuk lelaki dan wanita yang mampu memuatkan 20 pesakit dalam satu-satu masa.

"Di ruang khas ini, kita lakukan pelbagai perkhidmatan termasuk serahan ubat dan dokumentasi discaj yang lengkap akan dihantar terus kepada pesakit.

"Sementara menunggu urusan discaj selesai, HTF juga menyediakan makanan secara percuma selain kemudahan ruang solat di ruang terbabit yang beroperasi 24 jam," katanya.

Jafperi ketika ditanya mengenai isu kekurangan tapak parkir di HTF, berkata ia dijangka dapat diselesaikan tidak lama lagi apabila Kerajaan Pusat meluluskan peruntukan membina tapak parkir baharu.

"Sekarang ini ia sudah memasuki proses tender dan dijangka akhir tahun tapak pakir berdekatan Sungai Kechor itu siap, ..ia dijangka mampu menampung lebih 150 kenderaan dalam satu-satu masa," katanya.

Berita Harian X