Rabu, 7 September 2016 | 4:10pm

2 lelaki cuba tipu warga tua ditahan

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Pahang, Supritendan Azizan Md. Isa menunjukkan resit nombor ekor dan cek palsu yang digunakan oleh lelaki yang cuba menipu warga emas di Temerloh pada isnin lalu ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang. - Foto NSTP/Luqman Hakim Zubir

KUANTAN: Polis menahan dua lelaki berusia 46 dan 58 tahun yang cuba memperdayakan seorang warga tua dengan tawaran hadiah kemenangan loteri RM200,000 di hadapan sebuah bank di Temerloh, dekat sini, semalam. 

Dalam kejadian jam 11 pagi itu, seorang daripada suspek dikatakan menghampiri mangsa berusia 82 tahun dan menawarkan tiket loteri dengan mendakwa hadiah kemenangan RM200,000 akan dibayar dalam bentuk cek.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Azizan Md Isa, berkata mangsa bagaimanapun diminta suspek membayar RM30,000 bagi mendapatkan hadiah loteri itu.

"Mangsa tidak menyemak tarikh tiket loteri itu dan terus pulang ke rumah untuk mengambil buku banknya bagi membuat pengeluaran tunai. 

"Bagaimanapun, perbuatan mangsa kemudian dikesan anak lelakinya yang bertindak menghubungi polis selepas curiga dengan kelakuan bapanya untuk mengeluarkan wang simpanannya secara tergesa gesa," katanya pada sidang media, di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang, di sini, hari ini.

Beliau berkata, tindakan pantas anak mangsa menghubungi polis membolehkan pihaknya terus menahan dua suspek di hadapan sebuah bank ketika sedang menunggu mangsa membuat pengeluaran wang.

Berita Harian X