Rabu, 7 September 2016 | 1:16pm
Pengawal pantai China berhadapan nelayan Filipina berhampiran Scarborough Shoal di Laut China Selatan tahun lalu. - Foto kredit Renato ETAC/Associated Press

Filipina tuduh China bina pulau tiruan di beting

VIENTIANE: Filipina, pada Rabu menyiarkan gambar untuk menyokong dakwaan China sudah memulakan usaha mengukuhkan cengkaman di beting di Laut China Selatan secara rahsia.

Penyiaran imej itu, yang didakwa untuk menunjukkan kapal China bersedia membina pulau tiruan di Beting Scarborough Shoal, dibuat beberapa jam menjelang pertemuan antara pemimpin Asia Tenggara dan Perdana Menteri China, Li Keqiang, di Laos.

China, minggu ini menegaskan ia tidak melakukan sebarang usaha untuk memulakan pembinaan di beting itu, yang mempunyai kepentingan strategik bagi cita-cita Beijing mengawal laut dan melemahkan pengaruh tentera Amerika Syarikat di rantau itu.

Namun Filipina menegaskan imej menunjukkan kapal China di beting hujung minggu lalu yang mampu menggali pasir dan aktiviti lain diperlukan untuk membina pulau tiruan.

"Kami ada alasan untuk percaya kehadirannya mereka adalah bagi tujuan pembinaan di beting itu.

"Kami meneruskan pemantauan dan pemerhatian kehadiran dan aktiviti mereka, yang amat mengganggu," kata jurucakap Jabatan Pertahanan, Arsenio Andolong.

China menuntut hampir keseluruhan laut itu, walaupun perairan berhampiran pantai Filipina dan negara Asia Tenggara lain.

Tuntutan bertindih perairan itu sudah lama menjadi sumber ketegangan di rantau berkenaan, dengan China menggunakan kekerasan sebanyak dua kali untuk merampas kawalan kepulauan dari Vietnam. - AFP

Berita Harian X