Selasa, 6 September 2016 | 7:20pm

Shakilla Khoriri, Fizi Ali buat perancangan naik pelamin

PELAKON, Shakilla Khoriri. - Sumber Instagram

KUALA LUMPUR: Pelakon Shakilla Khoriri mengakui dirinya dan penyampai radio Suria FM, Fizi Ali, memang ada membuat perancangan untuk naik pelamin.

Begitupun, tidak terburu-buru ke arah itu, sebaliknya kedua-duanya kini lebih suka menumpukan dulu perhatian kepada kerjaya masing-masing.

"Kami memang ada rencana ke arah itu (berkahwin), insya-Allah. Kami berdua sedang mengumpulkan duit untuk berkahwin. Pada masa sama, saya dan dirinya boleh tumpukan perhatian pada kerjaya yang diceburi.

"Dia pun baharu saja menyertai stesen radio Suria FM. Jadi biarlah dia mengukuhkan dulu kerjayanya itu," kata Shakilla mengenai buah hatinya yang sebelum itu bertugas di Ultra FM.

Kata Shakilla lagi, mereka mula berkawan ketika masing-masing masih mempunyai kekasih hati.

"Begitupun, itu semua kisah lalu. Sekarang, kami pula yang bercinta. Saya senang dengan dirinya kerana dia seorang yang sangat baik dan memahami.

"Lagipun, tiada apa yang perlu disembunyikan mengenai hubungan kami dan masing-masing juga memang memilih untuk bersikap terbuka dalam hal ini," katanya yang turut berkongsi gambar kemesraan mereka di laman Instagram.

Menurut Shakilla yang kini terbabit dalam penggambaran drama Cinta Di Langit Cardiff, dia dan jejaka berkenaan sudah berkawan sejak hampir lapan tahun lalu. Bagaimanapun, hubungan mereka hanya benar-benar berputik sejak 2012.

Berita Harian X