Selasa, 6 September 2016 | 7:11am

Belajar reda dengan apa dimiliki

TERLALU banyak perkara yang menyeronokkan dalam hidup ini, tanpa kita sedari ia juga boleh membawa kerosakan. Tanya penagih dadah, mereka tahu dadah itu merosakkan, tetapi kerana tarikan sedap dan seronok yang ada pada dadah, mereka abaikan larangan.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Boleh jadi kamu membenci sesuatu sedangkan ia baik untukmu dan boleh jadi kamu menyukai sesuatu  sedangkan ia buruk untukmu. Allah mengetahui sedangkan kamu tidak tahu." (Surah al-Baqarah, ayat 216)

Hidup sentiasa menjanjikan sesuatu di luar jangkaan dan pastinya berdepan pelbagai ujian dan cabaran bukan sedikit. Cabaran itulah ada kalanya membuat kita lemah dan tersungkur. Menerusi rancangan Pesona D' Zahra di IKIMfm, Ustaz Muhammad Abdullah al-Amin menekankan kepentingan percaya kepada qada dan qadar.

Katanya, Islam menitikberatkan sifat sabar apabila berhadapan ujian, musibah atau malapetaka. Hamba Allah SWT akan berjaya mengekalkan kesabarannya jika sentiasa mengingati atau mengekalkan kesedaran mengenai hakikat atau hikmah musibah.

Hanya mereka yang bersangka baik kepada Allah SWT memiliki kesabaran dan iman yang teguh, iaitu mereka yang jodoh dan pertemuan di tangan Allah SWT walaupun ada kala kita menyangkakan ia terjadi dengan sendiri tanpa disedari. Tetapi, jangan sesekali kita sesal dengan jodoh dikurniakan Allah SWT.

Usah cepat menyerah

Kata-kata jodoh pertemuan, ajal maut di tangan Allah SWT wajar dijadikan renungan kerana ia mampu mendidik manusia dengan sifat qana'ah (bersyukur dengan apa yang ada), tetapi wujud pula manusia terlalu cepat menyerah kepada takdir tanpa sebarang usaha. 

Allah SWT tidak akan menguji hambanya melebihi kemampuan hambanya seperti firman-Nya yang bermaksud: "Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya." (Surah al-Baqarah, ayat 286)

Ayat itu mengingatkan kita Allah SWT tahu kita ada kekuatan yang tersembunyi dalam diri untuk menghadapi ujian, maka hendaklah berusaha mencari kekuatan itu. Terkadang kita jarang kaitkan ayat berkenaan dengan anugerah, rezeki, jawatan atau situasi yang kita harap dapat kita miliki. 

Contohnya, suami isteri yang mengharapkan dikurniakan cahaya mata, namun sehingga kini masih tidak mendapat seperti diharapkan. Mengaitkan dengan ayat itu, Allah SWT tidak akan membebankan hamba-Nya melebihi kemampuan seseorang itu, maka ia memberitahu kemungkinan kita belum bersedia menjalankan tanggungjawab sebagai ibu bapa.

Apa sahaja yang dilalui oleh manusia adalah ujian yang diturunkan oleh-Nya. Allah SWT menguji seseorang bukan kerana benci, tetapi kerana Dia sangat kasih kepada kita.

Oleh itu, perbaikilah diri supaya sentiasa menjadi umat yang   tenang menerima takdir dan ujian daripada Ilahi.

Dalam memperkuatkan lagi kepercayaan mengenai qada dan qadar, berpegang teguhlah kepada Allah SWT apabila dilimpahi  kesenangan. 

Elakkan daripada  memiliki sifat riak dan takbur dan jangan biarkan sifat itu bermaharajalela di jiwa, sebaik-baiknya berusaha muhasabah diri.  

Berita Harian X