Sabtu, 3 September 2016 | 10:22pm
LEWIS Hamilton. - Foto EPA

Hamilton samai rekod Fangio, Senna

MONZA, Itali: Lewis Hamilton menghasilkan pemanduan sempurna yang gagal disaingi rakan sepasukan di Mercedes AMG PETRONAS, Nico Rosberg untuk mengungguli petak pertama Grand Prix (GP) Itali di Litar Monza, sebentar tadi.

Petak utama dan kedua yang diraih kedua-dua pelumba Mercedes itu turut memaksa Ferrari sekadar berpuas hati untuk memulakan perlumbaan di laman sendiri di barisan kedua.

Ia adalah petak pertama ketiga berturut-turut buat Hamilton yang juga juara dunia tiga kali di Monza sekali gus menyamai rekod dipegang legenda Formula Satu (F1), Ayrton Senna dan Juan Manual Fangio yang memiliki lima petak pertama di GP Itali.

Selepas menguasai sesi kelayakan pertama, Hamilton tidak bermasalah untuk mencatat masa lebih pantas pada sesi ketika dengan catatan 1 minit (m) 21.135 saat (s) mengatasi Rosberg yang melakukan 1m 21.613s.

Ketika pemburuan petak pertama lebih terarah kepada dua pelumba Mercedes, Ferrari tampil untuk menguasai barisan kedua dengan Sebastian Vettel merampas petak ketiga daripada rakan sepasukannya, Kimi Raikkonen di minit-minit terakhir kelayakan.

Pelumba Williams, Valtteri Bottas dalam pada itu mencatat masa kelima terpantas untuk mengatasi kedua-dua pelumba Red Bulls, Daniel Ricciardo dan Max Verstappen yang terpaksa berpuas hati di petak keenam dan ketujuh.

Dua pelumba pasukan Force India, Sergio Perez dan Nico Hulkenberg masing-masing akan memulakan perlumbaan di petak kelapan dan kesembilan dengan pelumba Haas, Esteban Gutierrez melengkapkan kedudukan 10 terpantas.

Selepas mengumumkan persaraannya daripada perlumbaan F1 pada penghujung musim ini, pelumba Brazil, Felipe Massa sekadar melakukan masa ke-11 terpantas apabila gagal mara ke sesi kelayakan ketiga.

Pelumba Perancis, Romain Grosjean menamatkan sesi kelayakan di kedudukan ke-12 namun penalti lima grid perlumbaan disebabkan penukaran kotak gear menyaksikannya terpaksa memulakan perlumbaan di petak ke-17.

Berikut adalah kedudukan grid perlumbaan GP Itali, esok. - Agensi

1. Lewis Hamilton (GBR/Mercedes)

2. Nico Rosberg (GER/Mercedes)

3. Sebastian Vettel (GER/Ferrari)

4. Kimi Raikkonen (FIN/Ferrari)

5. Valtteri Bottas (FIN/Williams)

6. Daniel Ricciardo (AUS/Red Bull)

7. Max Verstappen (NED/Red Bull)

8. Sergio Perez (MEX/Force India)

9. Nico Hülkenberg (GER/Force India)

10. Esteban Gutierrez (MEX/Haas)

11. Felipe Massa (BRA/Williams)

12. Fernando Alonso (ESP/McLaren)

13. Pascal Wehrlein (GER/Manor)

14. Jenson Button (GBR/McLaren)

15. Carlos Sainz Jr (ESP/Toro Rosso)

16. Daniil Kvyat (RUS/Toro Rosso)

17. Romain Grosjean (FRA/Haas)

18. Felipe Nasr (BRA/Sauber)

19. Marcus Ericsson (SWE/Sauber)

20. Jolyon Palmer (GBR/Renault)

21. Kevin Magnussen (DEN/Renault)

22. Estéban Ocon (FRA/Manor)

Berita Harian X