Sabtu, 3 September 2016 | 8:23am

Lapan juta diberi vaksin demam kuning dalam 2 minggu

SEORANG pekerja awam membawa vaksin demam kuning di daerah Kisenso, Kinshasa. - Foto AFP

GENEVA: Hampir lapan juta penduduk di ibu negara Republik Demokratik Congo (DRC), Kinshasa, diberi vaksin demam kuning dalam masa tidak sampai dua minggu, kata Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

"WHO memuji kerajaan DRC berikutan kejayaan penting melancarkan kempen sukar dalam masa singkat," kata wakil badan dunia berkenaan di negara itu, Dr Yokouide Allarangar.

Tiada rawatan khas bagi demam kuning, penyakit virus pendarahan disebarkan di kawasan bandar oleh nyamuk Aedes, yang turut menjadi penyebab penularan Zika, denggi dan chikungunya.

Penyakit itu boleh menyebabkan kadar kematian meningkat kepada 50 peratus, tetapi selalu tidak dianggap ancaman besar seperti Ebola atau Zika, berikutan ada vaksin berkesan menentangnya sejak sekian lama.

Bagaimanapun, peratus penduduk yang imun terhadap demam kuning masih rendah di kebanyakan bahagian di Afrika.

Kempen vaksinasi di Kinshasa menggunakan 'vaksin kecemasan' iaitu satu perlima daripada dos penuh, 'sebagai langkah kecemasan jangka pendek untuk sampai kepada seberapa ramai penduduk yang boleh berikutan bekalan vaksin terhad', kata WHO dalam kenyataan.

Seramai 7.7 juta penduduk di Kinshasa diberi vaksin. Selalunya, kempen seumpama itu mengambil masa enam bulan.

Ia dilakukan Kementerian Kesihatan negara itu, WHO dan lebih 50 rakan global, dengan pusat vaksin didirikan di lebih 8,000 lokasi seluruh DRC. - AFP

Berita Harian X