Jumaat, 2 September 2016 | 6:17pm

Axiata, Atilze terokai potensi pengkomersialan IoT di Asia Tenggara


Ketua Pegawai Strategi Kumpulan Axiata Group Berhad, Arena Dominic (dua dari kiri) bersama Ketua Pegawai Eksekutif Atilze Digital Sdn Bhd, Gerard Lim (dua dari kanan) dokumen pertukaran selepas menandatangani kerjasama majlis perjanjian antara Axiata Group Bhd dan Atilze Digital Sdn Bhd di Hilton Hotel. Turut kelihatan, Kumpulan Perunding Pembangunan Perniagaan Axiata Group Berhad, Anil Chet Karamsingh (kiri) dan Pengasas, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Gemtek Technology Co Ltd dari Taiwan, Howard Chen (kanan). - Foto NSTP/Asyraf Hamzah

KUALA LUMPUR: Axiata Group Bhd menjalin kerjasama dengan Atilze Digital Sdn Bhd bagi peluang menguji, menerokai, membangun dan melaksanakan Internet Kepelbagaiguna (IoT) merentas Asia Tenggara.

Ketua Pegawai Eksekutif Atilze, Gerard Lim, berkata tumpuan awal diberikan ke atas penyelesaian penyambungan kereta (Connected Cars) dan mengkomersialkan pelaksanaan rangkaian kuasa rendah, jarak panjang dan kawasan rangkaian meluas (LoRa) di bandar-bandar.

Beliau berkata, penyelesaian Connected Car akan memiliki pelbagai aplikasi termasuk keupayaan diagnostik, ramalan penyelenggaraan, pemantauan dan pengurusan angkatan kenderaan waktu sebenar, analisis corak pemanduan, Sistem Bantuan Pemandu Peringkat Tinggi (ADAS), WiFi, infotainment, e-perdagangan, pembayaran tol tanpa sentuh dan Insurans Bersandarkan Penggunaan (UBI).

"Matlamat kerjasama ialah membangunkan usaha sama strategik antara Axiata dan Atilze, untuk menguji dan menerokai aplikasi IoT berdaya maju, selain mendapatkan potensi peluang perniagaan lebih luas dalam sektor IoT," katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis pemeteraian Perjanjian Kerjasama (CA) antara Axiata dan Atilze di sini hari ini.

Gerard mewakili Atilze manakala Axiata oleh Ketua Pegawai Strateginya, Dominic Arena.

Hadir sama Pengasas merangkap Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Gemtek Technology Co Ltd Taiwan.

Gerard berkata, terma CA itu adalah bagi tempoh 12 bulan, yang mana Atilze dan Axiata akan bersama-sama melaksanakan Pembuktian Konsep (POC) bagi Connected Cars dan rangkaian LoRa IoT di Malaysia, Indonesia dan Thailand.

Beliau berkata, dengan kerjasama itu kedua-dua Axiata dan Atilze akan bekerjasama untuk mewujudkan kerjasama ekosistem dengan pihak terbabit lain bagi menjayakan penggunaan rangkaian LoRa di bandar-bandar.

"Kami menyaksikan peluang besar bagi aplikasi dan perkhidmatan IoT merentas Asia Tenggara dan Asia Selatan, dan ini adalah sebabnya Axiata adalah rakan pilihan semula jadi bagi Atilze, mengambil kira rangkaian perniagaan meluas Axiata selaku satu daripada peneraju telekomunikasi di rantau ini," katanya.

Beliau berkata, pihaknya sudah mula memperkenalkan penyelesaian IoT ke dalam pasaran menerusi anak syarikat dan syarikat bersekutu Axiata dan hasil yang diterima sangat menggalakkan.

Penggunaan rangkaian LoRa adalah asas kepada sasaran aplikasi IoT di bawah CA itu.

Dengan sifatnya mesra persekitaran dengan liputan meluas dan penggunaan tenaga rendah yang disokong beberapa syarikat telekomunikasi global, LoRa sesuai bagi permintaan aplikasi dan perkhidmatan IoT pada masa depan, katanya.

LoRa turut menyokong rangkaian selular 3G dan 4G LITE.

Sementara itu, Arena berkata sementara Axiata melakukan transformasi menjadi syarikat digital generasi baharu, pihaknya bercadang menerajui revolusi digital dan memanfaatkan peluang pertumbuhan baharu menerusi ekonomi digital.

Beliau berkata, IoT adalah teras utama strategi Axiata 3.0.

Sektor perkhidmatan digital katanya, dianggarkan bernilai AS$30 bilion (RM122.71 bilion) menjelang 2020 dalam liputan semasa Axiata berdasarkan analisis dalaman.

"Potensi objek yang boleh dihubungkan begitu besar, berbilion, sehubungan itu kami melihat sektor IoT berpotensi berkembang meluas," katanya.

Di bawah CA itu, Atilze akan membekal gerbang LoRa, sistem antena, node dan peranti bagi kegunaan sistem sensor sedia ada dan baharu yang membentuk dasar kepada aplikasi IoT dalam industri seperti pengangkutan, utiliti, penjagaan kesihatan dan bandar pintar.

Atilze juga akan mengurus, mengendali, menyelenggara, memberi sokongan perkhidmatan bagi rangkaian LoRa itu.

Berita Harian X