Khamis, 1 September 2016 | 1:27pm
Bastian Schweinsteiger menitiskan air mata semasa perlawanan perpisahan beliau antara Jerman dan Finland di Stadium Borussia-Park di Moenchengladbach, Jerman. - Foto EPA
Bastian Schweinsteiger menitiskan air mata semasa perlawanan perpisahan beliau antara Jerman dan Finland di Stadium Borussia-Park di Moenchengladbach, Jerman. - Foto EPA
PEMAIN pasukan Jerman menjulang Bastian Schweinsteiger sejurus tamat perlawanan terakhirnya menentang Finland. - Foto AP
PEMAIN pasukan Jerman menjulang Bastian Schweinsteiger sejurus tamat perlawanan terakhirnya menentang Finland. - Foto AP

Schweinsteiger bersara diiringi linangan air mata

LONDON: Kapten Jerman, Bastian Schweinsteiger kelihatan membongkok dengan bunga di tangannya dan menitiskan air mata.

Dia yang berseorangan saat itu kelihatan terpegun dalam tepukan gemuruh seramai 30,121 penonton.

Namanya dilaungkan peminat di Borussia Park selepas montaj 'Greatest Hits' disiarkan - memaparkan jaringannya, saat berpelukan dengan rakan karibnya, Lukas Podolski dan Angela Merkel di Stadium Maracana dua tahun lalu selepas satu daripada persembahan terbaik individu ini buat negaranya.

Bermula dari situ, beberapa detik sebelum sebelum sepak mula aksi persahabatan menentang Finland, Schweinsteiger kelihatan gementar.

Mukanya sembab, tangannya kelihatan menyapu air matanya dalam keadaan yang penuh beremosi.

"Saya tidak menjangkakan ia menjadi sangat emosi," kata Schweinsteiger di padang selepas perlawanan persahabatan yang menyaksikan Jerman menewaskan Finland 2-0 itu .

"Terima kasih kepada semua yang datang di sini. Saya berterima kasih dan kita akan bertemu lagi di lain kali."

Schweinsteiger, 32, membuat penampilan terakhir bersama Jerman yang juga juara Piala Dunia 2014 selepas 12 tahun bersama pasukan kebangsaan dengan 121 kaps antarabangsa.

Perancang Manchester United ini mengumumkan persaraannya pada awal bulan lalu, namun jurulatih Joachim Loew memberinya peluang mengetuai skuad Die Mannschaft pada aksi semalam.

Dalam aksi persahabatan menentang Finland itu, Max Meyer dan Mesut Ozil menjaringkan gol kemenangan berkenaan. - AGENSI

Berita Harian X