Khamis, 1 September 2016 | 12:50am
PERTEMPURAN antara ribuan penunjuk perasaan dengan tentera kerajaan, dekat Kashmir. - Foto EPA

Protes warga Kashmir terhadap India semakin membara

SRINAGAR: Seorang remaja terbunuh dan puluhan yang lain cedera dalam pertempuran terbaharu antara ribuan penunjuk perasaan dengan tentera kerajaan, dekat Kashmir, kata polis dan saksi, hari ini.

Seorang pegawai polis yang tidak mahu dikenali berkata, pasukan separa tentera melepaskan tembakan menggunakan peluru hidup ketika penunjuk perasaan merempuh sepasukan tentera yang sedang mencari ketua mereka di sebuah kampung di utara Nadihal.

"Remaja berusia 18 tahun itu terbunuh ketika tembakan dilepaskan yang turut mencederakan lima yang lain," katanya.

Pegawai kanan polis berkata, penunjuk perasaan juga dilaporkan bertempur dengan tentera yang melepaskan tembakan menggunakan peluru getah dan gas pemedih mata di wilayah Himalaya utara termasuk di bandar utama Srinagar.

"Kami menerima laporan kira-kira 50 penunjuk perasaan cedera di Anantnag, kebanyakannya akibat terkena tembakan peluru getah," katanya.

Kashmir menyaksikan tunjuk perasaan hampir setiap hari menentang pemerintahan India sejak kematian ketua pemberontak popular pada 8 Julai lalu ketika bertempur dengan tentera.

Kira-kira 70 orang awam terbunuh dan beribu-ribu cedera dalam keganasan paling teruk melanda di wilayah majoriti penduduk Islam sejak 2010. Dua pegawai polis terbunuh dalam tempoh tujuh minggu kekacauan itu. - AFP

Berita Harian X