Isnin, 29 Ogos 2016 | 4:41pm

POKB bantu kanak-kanak derita penyakit sumbing, saraf

MUHAMAD Ziqry Aiman menderita penyakit sumbing dan saraf sejak lahir. - Foto Zaman Huri Isa
MUHAMAD Ziqry Aiman menderita penyakit sumbing dan saraf sejak lahir. - Foto Zaman Huri Isa

PASIR MAS: Seorang kanak-kanak, Muhamad Ziqry Aiman Edey Sherry, 2, yang menderita penyakit sumbing dan saraf mendapat perhatian Persatuan Orang Kota Bharu (POKB), yang tampil menyalurkan sumbangan.

Presidennya, Datuk Sheikh Ahmad Dusuki Sheikh Mohamad, berkata sumbangan berkenaan adalah kesinambungan daripada program Ziarah Kasih yang dilancarkan POKB.

"Hari ini, POKB bersama pakar rawatan mulut datang meninjau kesihatan Muhamad Ziqry Aiman dan melihat beberapa peluang rawatan kepadanya.

"Sebaik penelitian dibuat, pihak kami akan cuba membantu untuk melakukan pembedahan rekahan bibir dan lelangit. Selepas ini, Muhamad Ziqry Aiman akan dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk mendapatkan rawatan susulan penyakit saraf yang dialaminya," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan sumbangan susu dan lampin bernilai RM1,000 kepada bapa bayi berkenaan, Edey Sherrey Ramli, 24, di Kampung Repek, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Kelantan, Datuk Dr Mohd Zain Yusof dan Ketua Jabatan Bedah Mulut Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), Datuk Dr Rusdi Abd Rahman.

Mengulas lanjut, Sheikh Ahmad berkata, pembedahan rekahan bibir dan lelangit akan dilakukan secepat mungkin bagi membolehkan saluran pernafasan dan pemakanan kanak-kanak itu kembali normal.

Berita Harian X