Isnin, 29 Ogos 2016 | 12:00am

Cipta reban ayam berfungsi automatik


(DARI kiri) Liza, Nurul Busyra dan Georgiana bersama projek reban ayam moden dengan fungsi automatik yang dihasilkan. - Foto ihsan pembaca

MIRI: Dua pelajar BTEC Higher National Diploma (HND) Kejuruteraan Elektrikal/Elektronik, Kolej Antarabangsa Teknologi Lanjutan Sarawak (i-CATS), berjaya mencipta reban ayam berciri moden yang dilengkapi tiga fungsi automatik.

Inovasi oleh Liza Engkok, 22, dan Georgiana Abdullah, 22, itu dilengkapi sistem pengesan khas yang mampu mengira bilangan telur dihasilkan ayam, lampu di dalam reban akan bernyala sendiri apabila cuaca gelap, manakala makanan pula disalurkan secara automatik pada masa ditetapkan.

Liza berkata, projek mengambil tempoh setahun untuk disiapkan itu dihasil berdasarkan pengalaman mereka sendiri yang mendapati penternak ayam menghadapi beberapa kekangan berkaitan.

Kos murah

"Di kampung kami, ramai jiran yang menternak ayam secara kecil-kecilan mahupun dalam jumlah yang besar. Bagaimanapun dengan penggunaan reban sedia ada, pelbagai aspek perlu dipantau dari mula hingga terhasilnya telur ayam.

"Keadaan itu akan memenatkan penternak sudah berusia kerana terpaksa mengulangi kerja yang sama secara manual setiap hari," katanya sambil menjelaskan projek berkenaan hanya membabitkan kos semurah RM270.

Liza berkata, inovasi itu yang dipamerkan bersempena dengan pembentangan projek tahun akhir, baru-baru ini, sesuai diperkenalkan kepada pengusaha kecil dan sederhana.

Pilihan alternatif

"Ini adalah usaha kami untuk memberi pilihan alternatif kepada penternak. Tambahan pula, kaedah pengendalian reban ayam dengan fungsi automatik ini adalah mudah, jimat dan mesra alam, termasuk menggunakan bateri yang boleh dicaj semula," katanya.

Sementara itu pensyarah merangkap penyelia projek berkenaan, Nurul Busyra Azman, berkata beliau berpuas hati dengan hasil tugasan akhir Liza dan Georgiana, terutama sistem yang mampu melakukan kiraan automatik bilangan telur dihasilkan ayam.

Beliau berkata, inovasi itu diharap dapat dikomersialkan, manakala pelajar terus kreatif menampilkan idea projek yang inovatif dan mampu menyumbang kepada pembangunan masyarakat.

  • INFO: Reban ayam berfungsi automatik
  • - Mengira bilangan telur dihasilkan ayam.
  • - Makanan disalur pada masa ditetapkan.
  • - Lampu bernyala sendiri apabila cuaca gelap.
  • - Membabitkan kos semurah RM270.
  • - Kaedah pengendalian mudah, jimat dan mesra alam.
  • - Menggunakan bateri yang boleh dicaj semula.

Berita Harian X