Sabtu, 27 Ogos 2016 | 6:30am

Mungkinkah Liverpool ratah Spurs malam ini?


KOLUM BICARA EPL: Minggu lalu, juara liga, Liecester City dan naib juara, Arsenal buntu mencari gol di Stadium King Power. Di penghujung saingan kedua-dua pasukan akhirnya terpaksa berpuas hati dengan satu mata selepas terikat 0-0. Namun itu tidaklah mengejutkan.

Sebaliknya, kekalahan Liverpool kepada Burnley di laman lawannya itu paling memeranjatkan. Rasanya ramai penyokong setia mereka sesak nafas. Skuad bimbingan Jurgen Klopp tewas mengejut 0-2 kepada pasukan yang dianggap kerdil itu.

Pasukan pilihan lain seperti Manchester City, Manchester United dan Chelsea pula tiada masalah mengutip mata penuh pada aksi kedua itu untuk mengungguli empat teratas liga bersama Hull City dengan himpunan enam mata.

Bagaimana pula minggu ketiga ini? Adakah skuad The Foxes bimbingan Claudio Ranieri, The Gunners kendalian Arsene Wenger dan The Reds mampu bangkit daripada kekecewaan itu?

Bagi minggu ini, aksi tumpuan tentunya adalah membabitkan Spurs menentang Liverpool di White Hart Lane jam 7.30 malam ini. Mampukah The Reds mencuri mata dari gelanggang keramat lawannya itu?

Selepas dua aksi, Spurs menghimpun empat mata menerusi kemenangan 1-0 ke atas Crsytal Palace minggu lalu, selain seri 1-1 menentang Everton di Goodison Park. Liverpool pula mengumpulkan tiga mata selepas mengejutkan Arsenal, 4-3.

Setakat ini agak sukar untuk saya meramalkan potensi skuad The Reds ini akibat persembahan yo yo mereka. Selepas menang besar ke atas Arsenal pada aksi pertama, mereka dilihat sebagai calon untuk merangkul kejuaraan liga.

Namun kekalahan mengejut di tangan Burnley selepas itu jelas menggusarkan banyak pihak terutama kalangan penyokong setia mereka. Adakah ini pasukan yang diharapkan mereka untuk menamatkan kemarau kejuaraan selama 26 tahun?

Kemenangan 5-0 ke atas pasukan kerdil, Burton pada pusingan kedua Piala Liga, mungkin mampu menyuntik motivasi Liverpool di White Hart Lane malam ini untuk menghampakan barisan Mauricio Pochettino.

Tapi saya percaya bukan mudah untuk mereka meninggalkan gelanggang Spurs dengan membawa pulang mata. Pemenang tempat ketiga kejuaraan liga musim lalu itu pastinya ada resepi seperti dimiliki Burnley untuk mengecewakan Klopp dan barisannya malam ini.

Sementara itu, Leicester dijangka berdepan laluan mudah dalam misi mengutip mata penuh apabila melayan Swansea City yang dikejutkan Hull City, 2-0 di laman sendiri minggu lalu sebelum bangkit menjinakkan Peterborough, 3-1 dalam aksi Piala Liga.

City turut dijangka berdepan situasi sama apabila menerima kunjungan West Ham. Kemenangan 4-1 ke atas Stoke City minggu lalu harus terus membakar semangat mereka untuk mengutip mata penuh.

United pula dijangka tidak berdepan masalah untuk mengatasi Hull di laman lawannya itu, dengan sekali lagi menyandarkan harapan kepada peledak mereka, Zlatan Ibrahimovic selain Wayne Rooney dan Paul Pogba.

Chelsea yang turut mencatatkan kemenangan kedua minggu lalu sudah pasti tidak mahu senasib dengan Liverpool apabila melayan kunjungan Burnley. Saya ramal aksi ini memihak mereka. Selamat menonton.

* Penulis adalah Penolong Editor Sukan BH

Ramalan Minggu ke-3:

Tottenham Hotspur 2 - Liverpool 1

Watford 1 - Arsenal 3

Chelsea 3 - Burnley 1

Crystal Palace 1 - Bournemouth 1

Everton 1 - Stoke City 1

Leicester City 2 - Swansea City 1

Southampton 2 - Sunderland 0

Hull City 1 - Manchester United 4

West Brom 2 - Middlesbrough 2

Manchester City 4 - West Ham 1

Berita Harian X