Sabtu, 27 Ogos 2016 | 12:04am
FATTAH tidak pernah menggunakan atau menumpang populariti Sherry. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam

Fattah nafi dakwaan pergunakan bekas kekasih


APABILA enggan mendedahkan punca perpisahan dengan kekasih, aktor kacak, Fattah Amin, 26, dilemparkan tuduhan dan tanggapan keterlaluan.

Ada yang menganggap, pelakon yang melonjak popularitinya menerusi drama Playboy Itu Suamiku, Bencinta serta Hello Mr Perfect ini hanya memperalatkan dan menggunakannya bekas kekasih, Sherry Ibrahim, 33, untuk kesenangan diri.

Dengan nada perlahan, Fattah mengakui dirinya tidak faham mengapa beliau dikatakan lupa diri dan memperalatkan Sherry untuk menaikkan populariti.

"Kami berkawan ketika berlakon dalam drama, Cinta Ibadah. Ketika itu, saya sudah memegang watak hero, bukan pelakon sampingan atau ekstra.

"Saya tidak pernah menggunakan atau menumpang populariti Sherry, jauh sekali mahu mengikis wang ringgitnya. Selepas drama Cinta Ibadah, projek drama saya tidak pernah putus.

FATTAH Amin (kiri) dan Sherry Ibrahim. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam

PELAKON dan penyanyi, Sherry Ibrahim. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam

"Saya kurang rehat sepanjang dua tahun ini kerana bekerja keras untuk membina nama dan populariti. Saya tidak menumpang populariti sesiapa," katanya.

Jika ikutkan hati, katanya, beliau tidak mahu keluar bekerja dan hanya selesa berkurung dalam rumah. Bagaimanapun kata pemuda ini, tiada gunanya untuk terlalu mengikut hati.

"Kisah kami menjadi semakin meleret. Kerana itu, saya memilih mendiamkan diri selepas membuat pengakuan hubungan kami sudah berakhir tidak lama dulu.

"Kami renggang sejak dua bulan lalu dan apabila wartawan dapat menghidu, saya tidak mampu membohongi sesiapa. Perkara ini sudah kami bincangkan bersama, tetapi Sherry tidak dapat menerimanya.

"Saya tidak mahu memburukkan keadaan, apatah lagi bermasam muka kerana kami bernaung di bawah pengurusan yang sama," katanya.

Katanya, seperti yang ditegaskan sebelum ini, biarlah hanya dirinya dan Sherry yang tahu punca perpisahan mereka.

FATTAH mengakui dirinya tidak faham mengapa beliau dikatakan lupa diri. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman

"Bagi saya, ia terlalu peribadi untuk dikongsi, malah saya tidak mahu kenyataan yang diberikan akan mengaibkan sesiapa. Apa yang dapat saya katakan, jodoh, pertemuan, ajal dan maut di tangan Tuhan," katanya yang baru saja menyelesaikan penggambaran filem KL Special Force arahan Syafiq Yusof di Ipoh, Perak.

Mengulas kenyataan Sherry yang menuduhnya dengan pelbagai dakwaan, Fattah berkata, beliau tahu Sherry sedang beremosi.

"Siapa kata saya tidak kecewa, tetapi saya terpaksa mengawalnya kerana sedang sibuk bekerja. Saya tertekan dilempar pelbagai kecaman, tetapi saya pendam dan mengalah.

"Saya tidak membenci Sherry, malah tetap berkawan dengannya biarpun kami ditakdirkan tiada jodoh. Disebabkan itu, saya cukup berhati-hati memberikan kenyataan," katanya.

FATTAH kurang rehat sepanjang dua tahun ini kerana bekerja keras untuk membina nama dan populariti. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman

Dakwaan yang mengaitkannya menjalinkan hubungan dengan usahawan tudung, Hanis Arif, dan pelakon, Mira Filzah, Fattah berkata, beliau mengenali Hanis sejak tiga tahun lalu. Beberapa hari sebelum membuat pengakuan berpisah, dirinya bertemu Hanis atas urusan kerja.

"Pertemuan itu sepatutnya disertai beberapa rakan lain, tetapi mereka membatalkannya pada saat akhir. Sekiranya kami mempunyai hubungan, saya takkan bertemu Hanis di tempat terbuka.

"Andaian timbul apabila seorang pengikut memberikan komen pada Instagram Sherry. Kasihan Hanis kerana tanpa sebab, dirinya dituduh sebagai orang ketiga.

"Mira pula rakan lama sejak menuntut di Universiti Teknologi MARA (UiTM). Cuma kebelakangan ini, kami kerap bergandingan menyebabkan ada pihak membuat andaian kami bercinta. Kami juga bernaung di bawah pengurusan yang sama iaitu Myfastyle. Ia bukan syarikat milik saya seperti yang didakwa sesetengah pihak.

"Saya dan Mira merancang beberapa projek bersama, tetapi itu tidak bermakna kami bercinta. Kami juga akan bergandingan dalam sebuah projek drama pada Oktober depan," katanya.

Berita Harian X