Khamis, 25 Ogos 2016 | 9:19pm

Mah Sing untung RM120.29 juta

Pengarah Urusan Mah Sing, Tan Sri Leong Hoy Kum.

KUALA LUMPUR: Keuntungan sebelum cukai Mah Sing Group Bhd meningkat kepada RM120.29 juta pada suku kewangan kedua berakhir 30 Jun 2016 berbanding RM117.18 juta suku sama tahun sebelumnya.

Bagaimanapun, pendapatan dalam suku dikaji susut kepada RM773.90 juta daripada RM780.48 juta.

Kumpulan hartanah itu menjangka sumbangan pendapatan dan keuntungan daripada Southville City@KL South, Lakeville Residence di Taman Wahyu dan D'sara Sentral di Sungai Buloh berada pada momentum meningkat berikutan kerja pembinaan terus dilaksanakan.

Menurut syarikat itu, rumah mampu milik masih menyaksikan permintaan tinggi, berdasarkan 404 unit Cerrado Residential Suites (Menara A) berharga permulaan RM357,000 yang habis dijual.

"Kumpulan turut menyaksikan kadar pembelian tinggi sebanyak 92 peratus bagi pelancaran 120 unit menara akhir Lakeville Residence. Kedua-dua kadar pembelian itu, masing-masing dicatatkan pada hari pelancaran selama dua hari," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Pengarah Urusan Mah Sing, Tan Sri Leong Hoy Kum, berkata sentimen pembeli secara keseluruhannya, meningkat disebabkan penurunan Kadar Dasar Semalaman (OPR) daripada 3.25 kepada 3.0 peratus oleh Bank Negara, baru-baru ini.

Katanya, ia juga disumbangkan oleh permintaan yang masih tinggi untuk hartanah yang mempunyai pasaran besar di kawasan memiliki sistem perhubungan cekap.

Berita Harian X