Khamis, 25 Ogos 2016 | 12:14am
PATUNG hiasan kek yang dibuat sendiri olah Anne Idris. - Foto Shazreen Zamzuri
ANNE Idris menunjukkan hasil hiasan kek yang dibuat sendiri olah dirinya.- Foto Shazreen Zamzuri
KEK yang telah dihias oleh Pengasas My Mum's Bakery, Anne Idris. - Foto Shazreen Zamzuri
KREATIVITI Siti Saleha penuhi impian perkahwinan Mohd Fareed dan Nor Atikah yang bertemakan musim sejuk.
PELBAGAI jenis kek yang dihasilkan.
SITI Saleha puas dapat menghasilkan kek perkahwinan mengikut kehendak pelanggan.

Hiasi kek dengan 12,000 permata

SERING kali ketika berlangsung majlis perkahwinan tumpuan utama hadirin pastinya terhadap hiasan pelamin dan pasangan mempelai.

Tidak ketinggalan busana yang dikenakan pengantin turut menjadi bualan kerana mendapat sentuhan pereka terkemuka.

Agak jarang pula kita mendengar kek perkahwinan mencuri perhatian tetamu sehingga mengundang pujian ramai dan menjadi viral dalam kalangan netizen.

Bagi pengusaha kek Siti Saleha Idris, 33 atau lebih dikenali sebagai Anne Idris, sentuhan magisnya menghasilkan kek perkahwinan bukan setakat menjadi buah mulut tetamu malah turut mengundang viral di media sosial sejak hujung minggu lalu.


PENGASAS My Mum's Bakery, Anne Idris bersama hasil kek yang telah dihias. - Foto Shazreen Zamzuri

Ribuan kristal Swarovski

Dihiasi lebih 12,000 butiran permata kristal Swarovski, tidak keterlaluan untuk mengatakan kek perkahwinan lima tingkat milik pasangan pengantin Nor Atikah Suhaimi dan Mohd Farid Faisal, masing-masing berusia 24 tahun, boleh dianggap antara yang termahal pernah dihasilkan di negara ini.

Dibantu oleh dua lagi kakitangannya, pemilik My Mum's Bakery ini mengambil masa empat hari untuk menyiapkan kek yang dikatakan mencecah harga puluhan ribu ringgit ini.

Berkongsi kisah di sebalik penghasilan kek yang dianggap unik dan mewah berkenaan, Siti Saleha, berkata beliau memberikan komitmen lebih 100 peratus ketika menyiapkan kek untuk majlis yang berlangsung di Pusat Konvensyen Sime Darby, Bukit Kiara, Sabtu lalu.


ANNE Idris menunjukkan cara membuat hasil hiasan kek. - Foto Shazreen Zamzuri

Jadi 'trend setter'

"Saya mahu tampilkan kelainan dalam menghasilkan kek perkahwinan kerana selama ini jarang tetamu dalam mana-mana majlis resepsi perkahwinan memberikan penuh tumpuan kepada kek.

"Saya mahu lari daripada kebiasaan tema bunga yang kerap menjadi pilihan sehingga menjadikan kek perkahwinan tidak meninggalkan sebarang memori istimewa kepada orang ramai yang melihatnya.

"Jadi apabila ada pelanggan yang meminta kek bertatahkan Swarovski ini, saya ingin dilihat sebagai 'trend setter' dalam menghasilkan kek sedemikian," katanya.

Bertemakan rona putih hampir keseluruhan kek berkenaan mendapat sentuhan beliau sendiri bagi memastikan mutu dan kualiti seperti yang dikehendaki pelanggan.


ANNE Idris sedang menunjukkan cara membuat hasil hiasan kek. - Foto Shazreen Zamzuri

Persiapan awal

"Ini termasuk kerja perincian melekatkan kristal Swarovski pada kek yang setiap butirannya saya lakukan sendiri.

"Paling mencabar adalah untuk menyiapkan lapisan kedua atas kek berkenaan, membabitkan hampir 10,000 kristal Swarovksi yang disusun satu persatu di sekelilingnya.

"Untuk lapisan berkenaan saja mengambil masa hampir tiga hari kerana peringkat itu adalah paling rumit," katanya.

Lapisan keempat kek adalah perincian hiasan 400 kepingan renda yang dibuat daripada gula dan dilekatkan satu persatu.

Empat daripada lima lapisan kek berkenaan adalah dummy yang perlu disiapkan empat hari lebih awal sebelum menjelangnya majlis perkahwinan sebenar.

"Cuma bahagian bawahnya saja saya siapkan sehari sebelum majlis bagi memastikan kesegaran kek yang dihasilkan iaitu bermula daripada membakar sehinggalah proses menghias yang mengambil masa sehari suntuk," katanya mengenai kek berperisa American Chocolate seberat 20 kilogram (kg) itu.


KEK yang telah dihias oleh Pengasas My Mum's Bakery, Siti Saleha atau Anne Idris. - Foto Shazreen Zamzuri

Rahsiakan harga kek

Enggan mendedahkan harga sebenar kek, Siti Saleha berkata, walaupun butiran kristal Swarovski berkenaan tidak boleh dimakan tetapi ia boleh digunakan sebagai perhiasan pakaian.

Sementara itu, Fatimah SKE Ahmad, berkata beliau memilih Siti Saleha untuk membuat kek perkahwinan anak perempuannya kerana yakin dengan hasil kerjanya.

Katanya, beliau memberi kepercayaan penuh mengikut kreativiti Siti Saleha sendiri bagi memenuhi impian anaknya yang mahukan perkahwinan bertemakan 'musim sejuk'.

"Kami amat berpuas hati dengan hasilnya yang turut memukau semua tetamu yang hadir pada majlis berkenaan," katanya.


ANNE Idris menunjukkan cara membuat hasil hiasan kek. - Foto Shazreen Zamzuri

Profil:

Nama: Siti Saleha Idris.

Umur: 33 tahun.

Asal: Taiping, Perak.

Hasil kreativiti:

- Kek gaun perkahwinan Anzalna Nasir.

- Kek Swarovksi Bawal Ekslusif berharga hampir RM16,000.

- Kek Muslimah Doll

Berita Harian X