Selasa, 23 Ogos 2016 | 5:25pm

Polis India telan pisau arahan 'kuasa ghaib'

POLIS India. - Foto AP
POLIS India. - Foto AP

NEW DELHI: Seorang anggota polis India yang menelan pisau selama dua bulan dengan 40 daripadanya dikeluarkan melalui pembedahan, hari ini mendakwa berbuat demikian selepas menerima arahan 'kuasa ghaib.'

Bapa kepada dua anak dari utara Amritsar, menjalani pembedahan selama lima jam untuk mengeluarkan pisau berkenaan daripada perutnya selepas mengadu sakit perut kepada doktor.

"Saya tidak tahu kenapa saya berbuat demikian tetapi ada 'kuasa ghaib' di sebaliknya," kata lelaki berusia 42 tahun itu yang enggan menyebut namanya.

"Saya mula menelan pisau pada Jun lalu. Saya rasa seronok ketika pertama kali melakukannya. Tidak lama kemudian ia menjadi kebiasaan," katanya.

Doktor pada mulanya menyangka dia menghidap ketumbuhan selepas imbasan badan menunjukkan bentuk pepejal yang besar.

Bagaimanapun, selepas menjalankan siasatan lanjut, mereka mendapati berpuluh-puluh pisau lipat dengan logam dan pemegang kayu berukuran sehingga 18 sentimeter.

"Kami segera menjalankan pembedahan dan mengeluarkan pisau itu. Terdapat pendarahan dalaman kerana sebahagian daripada pisau itu terbuka lipatan," kata pakar bedah di Hospital Korporat, Dr Rajinder Rajan.

Dr Rajinder berkata, beliau mengesyaki pesakitnya mengalami masalah kemurungan, apabila memberitahu doktor najisnya mengandungi dua bilah pisau ketika membuang air besar.

Rajan berkata, walaupun pulih dengan baik selepas pembedahan Jumaat lalu, lelaki itu akan menjalani penilaian psikologi sebelum dibenarkan keluar hospital. - AFP

Berita Harian X