Selasa, 23 Ogos 2016 | 5:20pm

Kandappan semarak jiwa kemerdekaan

GURU dan murid bekumpul dan mengibarkan Jalur Gemilang sebelum memulakan Program Walkaton Merdeka di SK Taman Desa Jaya, Johor Bahru. - Foto Dazar Suarman

JOHOR BAHRU: Seramai 761 murid dan guru Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Desa Jaya, dekat sini, menyemarakkan sambutan tahun kemerdekaan menerusi program Walkaton Merdeka yang diadakan di sini, hari ini.

Lebih manis, kemeriahan program di sepanjang 1.4 kilometer (km) itu turut disertai usahawan pengangkutan yang sinonim dengan semangat patriotik menerusi hiasan bendera Malaysia di kereta, M Kandappan, 56, pada majlis yang disempurnakan oleh Guru Besar sekolah terbabit, Khairul Anuar Mashuri.

Kandappan berkata, minat dan semangatnya menyambut Hari Kemerdekaan turut dikongsikan bersama murid, sekali gus dapat menyuburkan semangat kemerdekaan dalam jiwa masyarakat Malaysia.

"Lebih lima sekolah rendah saya kunjungi sepanjang Ogos ini, bagi mendidik murid untuk mencintai negara kebanggaan rakyat Malaysia ketika mereka masih mudah dilentur kerana sifat ini yang akan mengukuhkan jati diri mereka sebagai anak tempatan.

"Usaha ini bukan untuk meraih sebarang populariti, tapi sebaliknya saya ingin menterjemah rasa sayang terhadap pemimpin dan negara tercinta," katanya ketika ditemui di sini.

Kandappan berarak bersama murid dan guru sekolah terbabit dengan menggunakan tiga kereta yang meriah dengan hiasan bendera Malaysia dan gambar Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar iaitu jenis PERODUA Myvi, PROTON Exora dan Mercedes.

Sementara itu, Guru Besar SK Taman Desa Jaya, Khairul Anuar, berkata sebanyak 1,014 Jalur Gemilang termasuk 14 bendera negeri di Malaysia dikibar sekitar kawasan taman perumahan bertujuan menyuntik semangat patriotik penduduk di negeri ini, sekali gus menyemarakkan bulan kebangsaan.

Katanya, nilai patriotisme yang dicapai ketika mengibar Jalur Gemilang, juga sebagai tanda simbolik bagi mengenang jasa pemimpin yang berjuang mengekalkan keharmonian negara.

"Inisiatif yang dilaksanakan ini akan lebih berkesan apabila murid dapat menghayati sejarah kemerdekaan negara kita," katanya.

Khairul Anuar berkata, pelbagai aktiviti menarik dijalankan termasuk pertandingan Bendera Botol Gergasi membabitkan penggunaan 1,400 botol plastik kitar semula; mereka cipta Topi Kemerdekaan; deklamasi sajak; pertandingan mereka cipta kain rentang kemerdekaan 'Sehati Sejiwa' dan pertandingan nyanyian patriotik.

Berita Harian X