Selasa, 23 Ogos 2016 | 2:47pm
PENYELAM meletakkan tukun tiruan bagi program Jom Baca 5 Minit di Dasar Laut di Pulau Tioman. - Foto Mohd Hazli Hassan

Tingkat capaian Internet di pulau peranginan


PESERTA bergambar pada program Start In Tioman (SIT) 2016 siri ketujuh baru-baru ini. - Foto Mohd Hazli Hassan

ROMPIN: Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan menyarankan syarikat telekomunikasi agar memperluaskan dan meningkatkan capaian Internet dan jalur lebar khususnya di pulau-pulau peranginan negara.

Timbalan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, kemudahan itu secara tidak langsung mampu mempromosikan produk-produk pelancongan dengan lebih mudah dan meluas.

"Memang ada antara pelancong yang mahukan kedamaian jauh dari dunia luar namun ada juga yang tidak boleh hidup dengan Internet jadi kita menyarankan kepada semua syarikat pembekal telekomunikasi untuk meningkatkan capaian Internet di pusat pelancongan terutama di pulau-pulau."

"Sebagai contoh, kita bawa Exco (Pembangunan Wanita dan Keluarga) Komunikasi dan Multimedia Pahang, Datuk Shahaniza (Shamsuddin) ke Pulau Tioman, untuk melihat sendiri keadaan Internet dan jalur lebar di sini dan saya diberitahu beliau sudahpun membuat aduan kepada pihak yang berkenaan dengan keadaan Internet yang sukar dicapai," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Mas Ermieyati berkata, kementeriannya juga kini sedang giat mempromosikan aktiviti selam skuba di negara bagi menggalakkan kehadiran penyelam tempatan dan asing.

Katanya keindahan dasar laut perairan negara dan kos aktiviti selaman yang murah mampu menjadikan Malaysia antara destinasi pilihan dalam kalangan penyelam.

"Kita mempunyai Pulau Tioman (Pahang), Pulau Kapas, Pulau Tenggol dan Pulau Redang (Terengganu) selain Pulau Sipadan di Sabah yang sememangnya terkenal dengan keindahan dan keunikan dasar lautnya," katanya ketika merasmikan program 'Start In Tioman (SIT) 2016' siri ketujuh baru baru ini.

Sempena program itu, Mas Ermiyati turut mengetuai penyelam lain meletakkan tukun tiruan bagi program 'Jom Baca 5 Minit di Dasar Laut' yang ditaja oleh Gallery Book Store diwakili Pengarah Urusannya, Datuk Salleh Saidin.

Turut hadir Pengarah Pejabat Pelancongan dan Kebudayaan negeri Pahang Datuk Idros Yahya dan Pengarah Tourism Malaysia Pahang Mohd Faharuddin Hatmin.

Idros berkata, SIT 2016 anjuran Villagers Travel & Tour Sdn Bhd ini adalah contoh landasan terbaik antara pihak kementerian dan pemain industri untuk mempromosikan aktiviti itu.

"Program SIT diadakan sejak 2009, dan berjaya menyemarakkan industri selam skuba negara apabila berjaya melahirkan lebih 1000 penyelam baru sepanjang penganjurannya.

"Tahun ini, seramai 100 orang akan mengambil bahagian dan pihak penganjur memperkenalkan pengambilan lesen peringkat 'advance' dan 'rescue' untuk mengembangkan kemahiran menyelam ke tahap lebih tinggi." katanya .

Berita Harian X