Isnin, 22 Ogos 2016 | 3:52pm

IOC puji Olimpik Rio, anggap ia menakjubkan

PRESIDEN Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC), Thomas Bach. - Foto AP
PRESIDEN Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC), Thomas Bach. - Foto AP

RIO DE JANEIRO: Presiden Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC), Thomas Bach memuji Olimpik Rio sebagai 'menakjubkan' tatkala dia dengan secara rasminya menutup temasya edisi yang pertama kali dianjurkan di Amerika Selatan itu, pagi tadi.

"Ini adalah Sukan Olimpik yang menakjubkan di bandaraya menakjubkan!" kata Bach, sebelum memadamkan obor Olimpik dengan Jepun akan mengambil giliran sebagai tuan rumah temasya 2020.

Dalam upacara penutup itu, beribu-ribu peminat dan atlet memakai pakaian tradisi Brazil - poncho - pada malam yang basah serta lembap dengan sambutan berwarna-warni bertemakan budaya dan muzik Brazil disamping tembakan bunga api yang hebat.

Atlet yang tersenyum sambil melambaikan tangan turut menari sewaktu memasuki Stadium Maracana dengan kebanyakan daripada mereka sempat mengambil 'selfie' tatkala temasya yang berlangsung selama 16 hari itu melabuhkan tirainya.

Perdana Menteri Jepun, Shinzo Abe membuat kemunculan seperti watak komik dalam permainan video Nintendo - Super Mario - tatkala Tokyo menerima penghormatan sebagai penganjur temasya 2020.

"Kerajaan Jepun akan... bekerja keras, jadi kami akan pastikan ia menjadi Olimpik terbaik dalam sejarah," kata Abe yang sebelum itu meluangkan masa bersama pemenang-pemenang pingat dari negara matahari terbit itu. - AFP

Berita Harian X