Isnin, 22 Ogos 2016 | 8:40am

Kipchoge menang pingat emas terakhir di Rio

KIPCHOGE merangkul kemenangan ketujuh daripada lapan pertandingan maraton terakhir yang disertainya dengan catatan masa 2 jam 8 minit 44 saat. - Foto AP
KIPCHOGE merangkul kemenangan ketujuh daripada lapan pertandingan maraton terakhir yang disertainya dengan catatan masa 2 jam 8 minit 44 saat. - Foto AP

RIO DE JANEIRO: Upacara penutup Sukan Olimpik Rio sedang berjalan ketika ini sejurus kemenangan Eliud Kipchoge dalam acara maraton sekali gus menandakan temasya sukan terbesar dunia itu sudah berakhir.

Atlet dan pegawai daripada seluruh dunia menghadiri upacara terbabit di Stadium Maracana sekali gus menandakan secara rasminya Olimpik pertama di benua Amerika Latin akan melabuhkan tirainya.

Pada hari terakhir, atlet Kenya Kipchoge, 31, menyinar apabila merangkul kemenangan ketujuh daripada lapan pertandingan maraton terakhir yang disertainya dengan catatan masa 2 jam 8 minit 44 saat untuk mengatasi pencabar terdekatnya dengan lebih seminit.

Sebelum itu, pasukan bola keranjang Amerika Syarikat menyambar pingat emas ke-306 dan yang terakhir hasil kemenangan bergaya 96-66 ke atas Serbia.

Kipchoge menguasai hari terakhir olahraga yang menyaksikan Usain Bolt melengkapkan dominasi tiga kemenangan pingat emas pada tiga edisi terakhir, dengan status Russia sebagai kuasa sukan dunia jatuh menjunam gara-gara lebih daripada separuh atletnya dihalang daripada menyertai temasya ini.

Michael Phelps melengkapkan karier gemilangnya di Olimpik Rio, apabila menambah lagi lima pingat emas untuk meraih keseluruhan 23 - termasuk satu pingat perak selepas tewas kepada perenang Singapura Joseph Schooling.

Sebentar tadi, atlet Mongolia Chagnaadorj Usukhbayar muncul selaku badang angkat berat keenam gagal ujian doping di Rio.

Dia disingkirkan daripada kejohanan selepas dia didedahkan mengambil testosterone. - AFP

Berita Harian X