Khamis, 18 Ogos 2016 | 3:35pm

Insurans lindungi kebajikan pekerja seandai dibuang

RISIKO hilang kerja atau menganggur 20 tahun lalu adalah kurang berbanding era sekarang. Kini, kehilangan pekerjaan dan ketidaktentuan sekuriti pekerjaan lebih ketara. Oleh itu, tindakan melindungi pekerja dan keluarga mereka terhadap kerugian tiba-tiba dan kehilangan pekerjaan secara unilateral serta pendapatan yang akan menjejaskan masyarakat dan ekonomi pada skala lebih besar, perlu diambil segera.

Sistem Insurans Pekerjaan adalah program kerajaan membantu pekerja yang kehilangan pekerjaan bukan kerana kesalahan sendiri. Ia menyediakan pendapatan sementara sehingga mendapat pekerjaan baharu. Malaysia bercadang menggunakan istilah Insurans Pekerjaan (Employment Insurance - EI)] untuk memberi konotasi progresif.

Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) menyediakan pendapatan kepada mereka yang hilang kerja, meningkatkan kebolehpasaran apabila menjadi penganggur dan menyediakan sokongan mencari pekerja, penempatan semula melalui program latihan untuk membolehkan mereka kembali kepada kehidupan kerja biasa.

Justifikasi liputan SIP di Malaysia lebih jelas sejak 1997 kerana krisis kewangan Asia apabila 121,222 pekerja kehilangan pekerjaan, tidak termasuk yang menghadapi potongan gaji dan pemberhentian sementara dan ramai pekerja asing terpaksa pulang ke negara mereka.

Kesannya, ramai pekerja tidak dibayar kerana syarikat muflis dan tidak mampu bayar pampasan diperuntukkan di bawah undang-undang atau menurut perintah dan keputusan mahkamah. Statistik menunjukkan 31 peratus pekerja yang hilang kerja atau diberhentikan tidak dibayar majikan.

Tak nikmati pampasan

Malah, ada kes gaji tertunggak tidak dibayar. Pekerja berpendapatan melebihi RM2,001 iaitu 30 hingga 35 peratus dan daripada ini, 6.5 juta pekerja sektor swasta tidak menikmati pampasan penamatan dan pemberhentian kerja di bawah Akta Kerja 1955. Jika mereka tidak berkesatuan dan tidak mempunyai manfaat Perjanjian Bersama, pekerja ini tidak mempunyai sebarang perlindungan.

NUBE percaya ramai lagi pihak berkepentingan mengalu-alukan perhatian Perdana Menteri memulakan dana untuk membantu pekerja yang hilang pekerjaan.

Sejak 2009, Kerajaan Malaysia memberi respon kepada keperluan untuk perlindungan pekerja yang hilang pekerjaan. Kementerian Sumber Manusia telah mulakan siri mesyuarat dan perbincangan dengan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia dan Persekutuan Majikan Malaysia mengkaji dasar, mekanisme dan pelaksanaan SIP di Malaysia.

Pada tahun akan datang, SIP mungkin jadi kenyataan. Namun, yang lebih penting adalah siapa yang menyumbang dan apakah kadar caruman kepada tabung SIP? Adakah ia seharusnya sumbangan iaitu caruman pekerja, majikan dan kerajaan atau hanya majikan dan kerajaan atau, dana ditubuhkan dan dibiayai sepenuhnya oleh kerajaan?

Persoalan lain ialah institusi atau badan mana perlu urus dan tadbir SIP ini? Ada beberapa elemen yang mesti dipertimbangkan. Antaranya:

a) Sebahagian penyokong SIP dalam dan luar negara mahukan senario pasaran buruh mobiliti dan fleksibiliti dan mahu pembaharuan undang-undang buruh untuk kebebasan yang lebih luas dan lebih besar dari segi pengambilan dan pemecatan pekerja.

Idea mempunyai SIP ialah bagi membantu pekerja diberhentikan sebelum mereka mendapat pekerjaan baharu. Majikan tidak harus menggunakan SIP untuk ambil kesempatan ke atas hak asasi pekerja bagi mendapat sekuriti dan tempoh pekerjaan.

b) Satu lagi kebimbangan besar adalah peruntukan undang-undang sedia ada untuk melindungi mereka dalam sektor yang tiada perwakilan mesti kekal serta terus diperkukuh lagi, contoh Manfaat Peraturan Penamatan Kerja dan Pemberhentian Kerja di bawah Akta Kerja 1955 mesti kekal.

c) Malah, jumlah pampasan perlu dipertingkatkan kerana ia ada dalam buku undang-undang sejak 1980. Begitu juga Hak Berkanun mencabar majikan bagi pemecatan atau penamatan tanpa sebab atau alasan munasabah di bawah Seksyen 20 Akta Perhubungan Perusahaan mesti diutamakan dan tidak boleh dikecutkan oleh Peruntukan Berkanun SIP. Di samping itu, sekatan 24 bulan ke atas upah kembali bertugas sebagai pampasan bagi pemecatan salah juga harus dibatalkan.

d) Semua undang-undang lain perlu disemak semula dengan sewajarnya supaya SIP dan undang-undangnya tidak akan memintas peruntukan atau kesan manfaat dan liputan SIP tidak terjejas. Sebagai contoh, seksyen dalam Akta Perhubungan Perusahaan yang bertentangan dengan Konvensyen Pertubuhan Buruh Antarabangsa mestilah juga sewajarnya dimansuhkan.

Utamakan pekerja terjejas

e) Pekerja yang terjejas lanjutan syarikat muflis atau ditutup mesti diutamakan dan pampasan di bawah Seksyen 292 (b) Akta Syarikat 1965 perlu diperkukuh, dipertingkat dan kuantum RM1,500 disemak semula serta ditetapkan sebagai pemiutang bercagar dan harus diberi keutamaan.

f) Selanjutnya semua peruntukan di bawah Perjanjian Kolektif mengenai perkara penamatan, penutupan loji, lebihan pekerja, dan pemberhentian pekerja perlu dikekalkan dan kekal bebas daripada peruntukan di bawah SIP.

Cadangan lanjut NUBE ialah SIP hendaklah meliputi semua pekerja yang menganggur akibat penamatan atas apa juga sebab termasuk pembuangan kerja; pekerja berpendapatan RM6,000 dan ke bawah termasuk pekerja asing, layak; sumbangan RM1 sebulan setiap pekerja, majikan seperti cadangan asal MTUC dalam tahun 90-an; kerajaan membayar RM2 bagi setiap pekerja; kuantum pembayaran mengikut jumlah penuh gaji akhir bagi tempoh maksimum 24 bulan dan latihan semula serta mekanisme penetapan dalam pekerjaan semula perlu dimasukkan ke dalam SIP.

Penulis ialah Setiausaha Agung Kesatuan Kebangsaan Pekerja-Pekerja Bank (NUBE)

Berita Harian X