Rabu, 17 Ogos 2016 | 3:17pm

Doktor India mengaku bunuh ramai wanita

NEW DELHI: Seorang doktor di India menjalin hubungan sulit dengan ramai wanita dan membunuh mereka menggunakan dadah berbahaya apabila mangsa mengancam mendedahkan hubungan mereka.

Dalam kejadian mengejutkan di Maharashtra, polis menemui empat mayat di rumah ladang milik Dr Santosh Pol di Wai.

Selain itu, beliau juga disyaki terbabit dalam kes kehilangan seorang kakitangan pusat penjagaan, Mangal Jedhe.

Ketika soal siasat, Pol mengaku membunuh Jedhe yang mempunyai hubungan sulit dengannya.

Pol berkata, bersama-sama rakan subahat, dia menculik Jedhe dari sebuah perhentian bas dan menanam mangsa di rumah ladangnya selepas memberikan suntikan maut.

Rakan subahat Pol ialah jururawat yang juga mempunyai hubungan romantik dengannya.

Pol kemudian mendedahkan dia menanam lima mayat wanita di rumah ladang dan melemparkan mayat seorang lelaki ke dalam kolam tadahan beberapa tahun lalu.

Menurut polis, Pol mengaku jenayahnya didorong "nafsu dan rompakan".

Lelaki berusia 41 tahun itu digelar 'Dr Maut' oleh polis yang mengendalikan kes berkenaan.

Sumber berkata, polis juga menyiasat pembabitan Pol dalam lebih 12 kes individu hilang di kawasan sama. - Agensi

Berita Harian X