Rabu, 17 Ogos 2016 | 8:30am

Kes kecacatan kelahiran akibat Zika di Haiti

PORT-AU-PRINCE: Haiti mengenal pasti kes pertama kecacatan kelahiran, mikrosefali, yang dikaitkan dengan virus Zika.

Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan Umum dan Kependudukan, Gabriel Thimothe, berkata kes itu disahkan pada Sabtu lalu oleh Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Amerika Syarikat (CDC).

Secara keseluruhan, Haiti mengesahkan 14 kes kecacatan kelahiran sejak Mac, kata seorang lagi pegawai kanan.

Pegawai kesihatan Amerika merumuskan jangkitan Zika pada wanita hamil boleh menyebabkan mikrosefali.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) berkata, ada bukti kukuh Zika juga menyebabkan gangguan saraf yang mengakibatkan kelumpuhan sementara, Guillain-Barre.

Kaitan antara Zika dan mikrosefali mula menjadi tumpuan musim luruh lalu di Brazil, yang kini mengesahkan lebih 1,600 kes mikrosefali yang dikaitkan dengan jangkitan Zika pada ibu. - REUTERS

Berita Harian X