Selasa, 16 Ogos 2016 | 10:15am

FINAS umum butiran baharu FFM28 petang ini

Datuk Seri Salleh Said Keruak.
Datuk Seri Salleh Said Keruak.

KUALA LUMPUR: Persatuan Penerbit Filem Malaysia (PFM) mengesahkan perjumpaan antara wakil persatuan membabitkan industri perfileman dengan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Salleh Said Keruak berlangsung jam 8 pagi tadi di sebuah hotel di sini bagi membincangkan hala tuju penganjuran Festival Filem Malaysia ke-28 (FFM28).

Presidennya, Datuk Yusof Haslam berkata mesyuarat yang lebih kepada perbincangan itu masih berjalan namun hanya boleh memaklumkan perincian atau inti pati pertemuan selepas sesi berkenaan berakhir.

"Memang hari ini ada perjumpaan dengan menteri. Kami masih dalam bilik mesyuarat. Selepas ini kalau ada apa-apa akan dimaklumkan," katanya ketika dihubungi BH Online, pagi tadi.

Difahamkan selain PFM yang juga penganjur bersama FFM28 dengan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS), pertemuan itu turut disertai Persatuan Seniman Malaysia (SENIMAN) serta Persatuan Pengarah Filem Malaysia (FDAM).

Sumber memaklumkan menteri mengadakan perbincangan yang bermula jam 8 pagi itu bagi mendengar pandangan wakil penggiat seni tempatan berhubung penganjuran FFM28 yang dijadualkan diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Kuala Lumpur (KLCC) pada 1 hingga 3 September ini.

Terdahulu, berikutan kontroversi pengumuman penganjur mengenai kategori baharu yang memisahkan filem Bahasa Malaysia dengan Bukan Bahasa Malaysia, kementerian berkaitan membuat keputusan membuka kategori utama kepada semua selepas isu terbabit hangat diperdebatkan banyak pihak.

Sekali gus, tiga kategori dalam kumpulan Bukan Di Dalam Bahasa Malaysia iaitu Filem Terbaik, Pengarah Terbaik dan Lakon Layar Terbaik dimansuhkan namun perubahan dasar itu tetap mencetuskan polemik hingga FDAM pula mengumumkan enggan terbabit dalam festival kali ini.

Sebelum keputusan diambil kerajaan dalam usaha meredakan situasi, pertelagahan pendapat antara penggiat seni turut memancing perhatian ahli politik serta tokoh korporat yang seakan berlumba memberi hujah sedangkan sebelum ini dilihat tidak ambil peduli isu filem tempatan.

Usai majlis perjumpaan berkenaan, satu sidang media pula dijadualkan berlangsung pada jam 3 petang ini di hotel sama yang dianjurkan FINAS dan PFM.

Berita Harian X