X
Selasa, 16 Ogos 2016 | 12:08am
ROSMA tetap mengasah bakat seni walaupun tidak berpeluang merakam lagu solo
ROSMA tetap mengasah bakat seni walaupun tidak berpeluang merakam lagu solo
KHAI dan Rosma turut mempunyai perniagaan sendiri, selain meneruskan minat dalam dunia nyanyian.
KHAI dan Rosma turut mempunyai perniagaan sendiri, selain meneruskan minat dalam dunia nyanyian.
ROSMA bersama dua anaknya yang kini berusia dua dan tujuh tahun
ROSMA bersama dua anaknya yang kini berusia dua dan tujuh tahun
ROSMA dan Khai mula mencipta nama menerusi Akademi Fantasia musim pertama pada 2003.
ROSMA dan Khai mula mencipta nama menerusi Akademi Fantasia musim pertama pada 2003.
ROSMA dan Khai bersama anak-anak mereka.
ROSMA dan Khai bersama anak-anak mereka.

Rosma tunggu 13 tahun untuk lagu solo


NAMANYA pernah menjadi sebutan ramai tatkala menyertai program Akademi Fantasia (AF) musim pertama pada 2003. Saat itu, selain kelunakan suara dimiliki, hubungannya dengan rakan seperjuangan, Khai, turut menyebabkan dirinya menjadi perhatian ramai.

Bagaimanapun, selepas keluar daripada program berkenaan, nasib Rosma dalam dunia seni tidak secerah beberapa rakan AF yang lain. Malah, Khai yang akhirnya menjadi suami beliau selepas kira-kira lima tahun bercinta, dilihat lebih menyerlah apabila muncul dengan dua album, selain pembabitannya dalam beberapa program TV dan filem.

Rosma dan Khai atau nama sebenarnya Mohd Khairul Nizam Mohamad, 37, mendirikan rumah tangga pada 28 April 2008. Mereka dikurniakan dua cahaya mata, Muhammad Amzar Danish, 7, dan Nur Amani Damia, 2.

Bukanlah tenggelam terus, tetapi kewujudan Rosma di bidang seni bagai kurang disedari. Pernah menyertai program Sehati Berdansa bersama Khai pada 2008, tetapi tuah yang dicari bagai sukar juga ditemui.

Namun begitu, ia tidak mematikan semangat wanita berusia 31 ini untuk terus mengasah bakat suaranya walaupun peluang merakam lagu solo apatah lagi album tidak kunjung tiba.

Rosma atau nama sebenarnya Rosmayati Sidik, sebelum ini cuma berpeluang merakam lagu secara duet bersama suami, masing-masing menerusi lagu Warna Cinta, Hari Raya Bahagia dan Dengan Sekali Lafaz.

Begitupun, dalam pertemuan bersama BH baru-baru ini, wanita berkulit cerah ini dalam nada teruja berkongsi perkhabaran gembira dirinya bakal tampil dengan single terbaharu hasil idea Khai, tidak lama lagi.

Selepas sekian lama menanti, Rosma yang turut aktif menjalankan perniagaan produk melangsingkan badan tentu saja mempunyai sejuta alasan untuk berasa gembira dengan projek khas yang dirancang untuk dirinya itu.

"Suami ada meluahkan hasrat meminta saya kembali bergerak aktif dalam bidang nyanyian, beberapa hari lalu. Terharu rasanya apabila Khai memberitahu, dia sudah mula berusaha mencari komposer untuk menghasilkan single terbaharu saya.

"Ia membuktikan dirinya tidak sekadar bergurau dan memberikan sepenuh sokongan kepada saya untuk kembali bergerak aktif dalam bidang nyanyian. Sebenarnya, saya tidak pernah meninggalkan dunia seni, cuma sudah lama tidak menghasilkan produk baharu.

"Tidak sabar rasanya menunggu hasil produk itu nanti dan diharapkan ia dapat mengubati kerinduan peminat yang tidak jemu-jemu menyokong perjalanan kerjaya saya. Single itu dijangka siap pada tahun 2017 dan berperanan sebagai 'comeback' saya ke dunia muzik.

"Jika sebelum ini kami lebih dikenali sebagai pasangan duet, namun Khai meluahkan hasrat untuk menghasilkan lagu solo berentak balada khas buat saya," katanya.

Biarpun sepi tanpa produk atau album baharu, Rosma pada hakikatnya ligat menerima undangan persembahan, manakala Khai pula sibuk menguruskan perniagaan yang dikongsi bersama.

Tidak pernah berasa cemburu dengan kehadiran ramai bintang AF generasi baharu, Khai dan Rosma sebenarnya pernah mencuba mencari peluang dan ruang untuk muncul dengan album sendiri.

"Sejak awal lagi memang itulah cita-cita kami. Hanya Khai yang pernah memiliki album sendiri, manakala saya belum berpeluang berbuat begitu. Saya ada lagu sendiri, tetapi tidak mendapat peluang untuk mengetengahkannya dengan baik.

"Sampai sekarang, saya masih mencari dan menunggu peluang untuk menghasilkan single. Diharapkan agar perancangan ini berjaya membuahkan hasil," kata Rosma.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X