Ahad, 14 Ogos 2016 | 8:47am

Motosikal kuasa tinggi terbakar, penunggang rentung

KEADAAN motosikal yang hangus dalam kemalangan di Kilometer 243 Lebuh Raya Utara-Selatan, arah utara dekat Senawang. - Foto ihsan Bomba

SEREMBAN: Seorang lelaki maut apabila motosikal berkuasa tinggi yang ditunggangnya terbakar selepas terbabit dalam kemalangan di Kilometer 243 Lebuh Raya Utara-Selatan, arah utara, tengah malam tadi.

Dalam kemalangan kira-kira jam 12 tengah malam berhampiran Hentian Rehat Senawang, Ahmad Tarmiji Hussin, 54, yang menunggang KTM 950 Adventure dalam perjalanan dari Melaka ke Kuala Lumpur, dipercayai melanggar belakang sebuah kereta sebelum terbabas dan terbakar.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Rembau, Mohd Fuad Majid, berkata sebuah jentera bersama lapan anggota bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan daripada orang awam.

"Anggota bomba mengambil masa tiga minit untuk memadamkan kebakaran. Motosikal itu musnah sepenuhnya dan kita menemui mayat seorang lelaki rentung berhampiran motosikal itu," katanya di sini, hari ini.

Beliau berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Tuanku Ja'afar (HTJ) dan kes diserah kepada polis, manakala punca kebakaran masih dalam siasatan.

Berita Harian X