Ahad, 14 Ogos 2016 | 12:31am

Majoriti belia negara ketagih internet, media sosial, berdepan risiko masalah mental


KUALA LUMPUR: Lebih 60 peratus daripada golongan belia berusia 18 hingga 25 tahun yang dikaji di negara ini, dikesan menghabiskan masa lebih lima jam sehari, untuk melayari internet, terutama bahan berunsur hiburan.

Ketagihan itu dikesan menyebabkan mereka mengalami gangguan psikologi hingga boleh menjejaskan kawalan impuls diri apabila seseorang menjadi terlalu akrab kepada internet.

Selain itu, mereka juga mudah mengalami kemurungan dan masalah kesihatan, berikutan tindakan mengurangkan masa tidur serta rehat yang cukup.

Kajian Institut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia (IYRES) dan Universiti Utara Malaysia (UUM) terhadap 2,007 responden dari seluruh negara, turut mendapati majoriti mereka menghabiskan masa dengan aplikasi WhatsApp dan Facebook.

Ketua Jabatan Teknologi Multimedia, Pusat Pengajian Teknologi Multimedia dan Komunikasi UUM, Dr Mohd Sobhi Ishak, berkata sebahagian besar responden, berisiko mengalami simptom keresahan berpunca daripada ketagihan Laman Rangkaian Sosial (SNS) seperti Facebook; WhatsApp; WeChat; Instagram dan Youtube.

KETUA Jabatan Teknologi Multimedia Pusat Pengajian Teknologi Multimedia dan Komunikasi UUM, Dr Mohd Sobhi Ishak.
KETUA Jabatan Teknologi Multimedia Pusat Pengajian Teknologi Multimedia dan Komunikasi UUM, Dr Mohd Sobhi Ishak.

Beliau berkata, masalah itu diburukkan lagi dengan kemajuan teknologi telefon pintar dengan pelbagai aplikasi baharu termasuk permainan siber, Pokemon Go, yang boleh mengakibatkan individu berkenaan mengalami masalah kesihatan mental seperti tekanan perasaan, keresahan dan kemurungan.

"Semakin ketagih kepada SNS, kesihatan mental seseorang kian terjejas. Contohnya, jika seorang pengguna internet tidak dapat menggunakan SNS seperti aplikasi WhatsApp untuk tempoh tertentu, mereka akan merasa risau kerana takut ketinggalan, itu antara simptom masalah kesihatan mental.

"Ada juga kes individu mengalami kemurungan kerana status di Facebook tidak mendapat reaksi rakan, hingga menjejaskan keyakinan diri serta mewujudkan prasangka terhadap orang sekeliling," katanya ketika ditemui BH, di sini, semalam.

Mohd Sobhi berkata, senario itu juga menyebabkan individu terbabit tersisih daripada interaksi sosial bersemuka, tabiat makan yang tidak sihat, gangguan tidur, kurang aktiviti fizikal dan menjejaskan tumpuan pelajaran atau kerja.

"Pendek kata, selagi sentiasa dekat dengan internet, kita tidak boleh lari daripada kesan negatif yang tercetus daripada penggunaan SNS secara tidak berhemah seperti dibuli pembenci atau 'haters' apabila sesuatu isu viral dan menjejaskan keselamatan jika menjadi mangsa penipuan dan pengintai dalam talian.

Permainan Pokemon Go antara aplikasi baru dalam telefon pintar yang boleh menyebabkan belia lebih banyak manghabiskan masa dengan internet dan media sosial. - Foto Mikail Ong
Permainan Pokemon Go antara aplikasi baru dalam telefon pintar yang boleh menyebabkan belia lebih banyak manghabiskan masa dengan internet dan media sosial. - Foto Mikail Ong

"Justeru, dapat disimpulkan bahawa kajian saintifik membuktikan penggunaan internet berupaya membawa mudarat apabila melemahkan masyarakat terutama generasi muda yang melalui proses membina keyakinan diri," katanya.

Mohd Sobhi berkata, ketagihan internet tidak terhad kepada penduduk bandar yang mempunyai akses mudah, sebaliknya turut mempengaruhi jiwa belia luar bandar yang kini mempunyai kemudahan sama kepada internet.

Justeru itu, beliau menekankan kepentingan kepada orang awam untuk menyedari masalah terbabit dan mengetahui pelbagai cara yang boleh dilakukan bagi mengatasinya.

"Generasi muda amnya tidak suka ditegur, jadi pendekatan terhadap isu ini perlu dibuat secara lembut dan sensitif, sesuai dengan keperluan mereka. Bagaimanapun semuanya bergantung kepada individu itu sendiri untuk mengurangkan ketagihan ini," katanya.

TUMPUAN keterlaluan kepada pelbagai aplikasi baharu termasuk permainan siber boleh mengakibatkan individu mengalami masalah kesihatan mental.
TUMPUAN keterlaluan kepada pelbagai aplikasi baharu termasuk permainan siber boleh mengakibatkan individu mengalami masalah kesihatan mental.

FAKTA:

  • 2,007 responden 18-25 tahun dari seluruh negara
  • 60 peratus ketagih internet
  • 60 peratus melayari internet lebih 5 kali sehari
  • 84 peratus melayari internet sebelum dan sejurus bangun tidur
  • 68 peratus memanfaatkan waktu rehat untuk melayari internet

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X