Sabtu, 13 Ogos 2016 | 7:00am

Musim baharu EPL bakal mendebarkan, dramatik

KOLUM: APA KATA EPL

Liga Perdana Inggeris (EPL) musim 2016/2017 hari ini secara rasmi membuka tirainya dengan menyaksikan tujuh perlawanan bakal berlangsung. Penyandang juara, Leicester City akan memulakan aksi menentang Hull City, jam 7.30 malam.

Musim ini pastinya dijangka lebih sengit dan dramatik dengan kehadiran beberapa nama besar mewarnai saingan seperti pemain termahal dunia, Paul Pogba dan penyerang sensasi, Sweden, Zlatan Ibrahimovic yang menyertai Manchester United.

Tambah memercikkan lagi suasana penampilan jurulatih terkemuka, Jose Mourinho yang membimbing Red Devils, selain Pep Guardiola (Manchester City) dan Antonio Conte (Chelsea).

Saingan EPL sebelum ini sudah pun menerima kehadiran pengendali terkenal dari Jerman, Jurgen Klopp bersama Liverpool selain muka lama, Arsene Wenger di Arsenal, Mauricio Pocchetino di Tottenham Hotspur dan Claudio Ranieri di Leicester.

Seperti musim terdahulu, bagi aksi musim ini tentunya soalan pertama yang bakal diajukan - pasukan manakah bakal menjuarai EPL? Adakah The Foxes yang melakukan kejutan besar musim lalu, mampu mempertahankan kejuaraan mereka?

Pasukan manakah pula yang akan muncul empat terbaik dan sekali gus layak ke saingan Liga Juara-Juara? Atau pasukan manakah yang akan tersingkir di penghujung musim ini?

Tidak ketinggalan persoalan, siapakah bakal jadi pemain terbaik pilihan EPL, PFA (Persatuan Pemain Profesional) atau Persatuan Penulis Bola Sepak (WFA)? Adakah Jamie Vardy dan Riyad Mahrez (Leicester) mampu mengekalkan gelaran itu atau dirampas Pogba dan Ibrahimovic? Mungkinkah Harry Kane bakal terus jadi penjaring terbanyak musim ini.

Paling menarik juga tentunya peminat EPL ingin melihat percaturan strategi bagi setiap aksi membabitkan pasukan bimbingan Mourinho, Guardiola, Conte, Klopp dan Wenger apalagi jika mereka berentap sesama sendiri.

Dan bagi aksi minggu pertama ini, tumpuan pastinya akan terarah kepada perlawanan Arsenal-Liverpool di Stadium Emirates. Kemenangan pastinya akan meletakkan Wenger atau Klopp di landasan tepat untuk memulakan musim baharu dengan lebih yakin.

Namun buat United, mereka harus lebih bersemangat memulakan saingan apabila sudah mengecapi kejuaraan pertama selepas memenangi Perisai Komuniti minggu lalu, meskipun bakal turun menentang Bournemouth tanpa Pogba. Selamat menonton.

Penulis adalah Penolong Editor Sukan BH

Ramalan Minggu Pertama

Hull City 1 Leicester City 1

Crystal Palace 2 West Brom 1

Burnley FC 1 Swansea City 2

Everton 1 Tottenham 2

Middlesbrough 1 Stoke City 1

Southampton 2 Watford 0

Manchester City 2 Sunderland 0

Bournemouth 1 Manchester United 3

Arsenal 1 Liverpool 1

Chelsea 3 West Ham 1

Berita Harian X