Sabtu, 13 Ogos 2016 | 1:41am

NST, TV3 raih gangsa di Putra Brand Awards 2016

PENGERUSI Penganjuran Putra Brand Awards merangkap Naib Presiden Persatuan Ejen-ejen Pengiklanan Bertauliah Malaysia (4As), Andrew Lee (kiri) menyampaikan anugerah kepada Pengurus Besar, Pemasaran, Kumpulan The New Straits Times Press (M) Berhad (NSTP), Farah Ezrin Mohd Rashidi (tengah) pada Putra Brand Awards 2016 di Kuala Lumpur. - Foto Yazit Razali

KUALA LUMPUR: Akhbar New Straits Times (NST) dan saluran televisyen, TV3, rangkaian media milik Kumpulan Media Prima Bhd (MPB), meraih gangsa pada Putra Brand Awards 2016 menerusi kategori rangkaian media.

Sebelum ini, TV3 memenangi anugerah gangsa (2010), perak (2011 dan 2012) dan emas pada tahun 2015.

Bagi NST pula, ini adalah kali pertama ia disenarai pendek dan anugerah pertama diterimanya.

Menerima bagi pihak NST ialah Pengurus Besar, Pemasaran, Kumpulan The New Straits Times Press (M) Berhad (NSTP), Farah Ezrin Mohd Rashidi manakala TV3 diwakili Pengurus Besar Kumpulan TV3 & TV9, Sherina Nordin.

Hadiah bagi kategori berkenaan disampaikan Pengerusi Penganjuran Putra Brand Awards merangkap Naib Presiden Persatuan Ejen-ejen Pengiklanan Bertauliah Malaysia (4As), Andrew Lee.

Farah Ezrin, ketika ditemui pada majlis penyampaian anugerah itu, di sini, malam ini berkata: "Ia pilihan pengguna. Tahun depan kita pasti akan capai lebih baik lagi."

Katanya, kemenangan itu juga membuktikan MPB berada di landasan betul yang secara tidak langsung memperkukuhkan lagi kedudukannya sebagai kumpulan media terunggul negara.

Dilancarkan pada tahun 2010, Putra Brand Awards adalah anugerah jenama terkemuka di Malaysia dianjurkan 4As dengan kerjasama jenama premier di Malaysia. Putra Brand Awards adalah anugerah pilihan rakyat.

Mengulas lanjut, Farah Ezrin berkata, ia adalah penghargaan diberikan pengguna kepada jenama yang memberikan hubungan bermakna kepada mereka.

Putra Brand Awards 2016 memanfaatkan metodologi penyelidikan pengguna rapi yang dibangunkan IQ LeanLab APAC membabitkan sekurang-kurangnya 6,000 responden di Malaysia menerusi platform digital bagi menentukan jenama pilihan Malaysia dalam pelbagai kategori.

Responden yang dikaji selidik menilai jenama berdasarkan kepada empat faktor utama, iaitu tanggapan terhadap jenama terbabit; hasrat mereka untuk membeli produk jenama terbabit; jenama pilihan; dan jenama yang mereka akan cadangkan kepada rakan dan keluarga.

Keputusan muktamad disokong Pengerusi Lembaga Pentadbir Putra Brand Awards.

Anugerah itu mendapat dokongan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE).

Lima anugerah istimewa dipertandingkan, manakala sebanyak 24 kategori dipertandingkan pada Putra Brand Awards 2016.

Lima anugerah istimewa itu ialah Putra Most Enterprising Brand of the Year; Putra Brand of the Year Brand; Putra Malaysian Marketer Award; Putra Brand Personality Award; dan Brand Icons - jenama yang memenangi empat Anugerah Emas berturut-turut.

Berita Harian X