Sabtu, 13 Ogos 2016 | 12:01am
MUHAMMAD Ikmal atasi kemurungan kesan HS dengan menubuhkan kumpulan sokongan pesakit.
MUHAMMAD Ikmal atasi kemurungan kesan HS dengan menubuhkan kumpulan sokongan pesakit.

Pipi berlubang dan pengsan angkara radang akar rambut

KESAN radang akar rambut pada bahagian tengkuk pesakit.
KESAN radang akar rambut pada bahagian tengkuk pesakit.

BERGELAR remaja, Muhammad Ikmal Ahmad, tidak menghiraukan jerawat yang tumbuh di bawah ketiak beliau hanya kerana beranggapan keadaan itu bukanlah perkara luar biasa.

Jerawat hilang buat seketika tetapi muncul semula dengan nanah pekat sehingga melekat pada baju. Beberapa hari selepas itu, satu lagi jerawat sebesar kuku jari kelingking tumbuh pada pipi kirinya.

Seperti keadaan di bawah ketiak, jerawat tadi mengeluarkan nanah banyak sehingga berbau busuk dan melekit.

Keadaan itu menyebabkan Muhammad Ikmal terpaksa memakai dua lapis baju bagi memastikan bau busuk tidak mengganggu keselesaan orang di sekelilingnya.

"Keadaan bertambah parah apabila jerawat ini menjadi agresif dan di bawah ketiak pula semakin membesar serta menyakitkan kerana nanah tidak putus mengalir sehingga saya tidak dapat menggerakkan tangan.

"Saya pernah mengambil masa 40 minit untuk mandi malah terpaksa mengambil masa 10 minit lagi untuk menanggalkan baju," katanya

Pengsan dalam tandas

Beliau tidak malu berkongsi kisahnya yang menghidap penyakit radang kulit dikenali sebagai Hidradenitis Suppurativa (HS) demi meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai serangan itu.

Kejadian pengsan di dalam tandas sehingga jerawat di pipinya pecah dan meninggalkan lubang besar mendorong beliau segera mendapatkan rawatan doktor.

Lima doktor ditemui, semuanya mengatakan jangkitan kuman dan sekadar memberikan antibiotik. Keadaan itu tidak memberi perubahan malah terus melarat ke bahagian tengkuk pula.

"Serangan pada bahagian tengkuk menyebabkan saya tidak boleh menoleh seperti biasa. Saya terpaksa bergerak seperti robot. Keadaan itu turut menimbulkan kerisauan kepada ahli keluarga yang lain.

"Saya bersyukur kerana keluarga menunjukkan simpati dan membantu mendapatkan rawatan alternatif lain walaupun tidak berkesan," katanya yang mendapatkan rawatan daripada pakar kulit dan diberikan antibiotik, ubat jerawat Isotretinoin dan suntikan Kenacort.

Hidup lebih pasif

SERANGAN pada bahagian tengkuk menyebabkan Ikmal tidak boleh menoleh seperti biasa.
SERANGAN pada bahagian tengkuk menyebabkan Ikmal tidak boleh menoleh seperti biasa.

Sejak diserang HS, kehidupannya berubah dan menjadi lebih pasif sehingga menyebabkan berat badannya meningkat. Pergerakan juga terbatas hingga menjadikan beliau enggan bertemu rakan di luar.

Selepas membuat sedikit pembacaan dan mendapati penyakit ini tidak boleh sembuh, hidup dirasakan tidak berguna sehingga mencetuskan niat untuk menamatkan riwayat beliau saja.

Iman yang masih menebal dalam jiwa menghalang Muhammad Ikmal mengikut bisikan syaitan. Beliau bertekad untuk terus mendepani dugaan ini.

"Kesakitan mental lebih teruk berbanding gangguan fizikal ini apabila waktu rehat atau tidur terganggu. Saya juga sering gagal ketika menjalani temuduga mendapatkan kerja," katanya yang juga Presiden Kumpulan Sokongan HS Malaysia.

Tidak keseorangan

Persatuan itu ditubuhkan pada Mac lalu bertujuan memberi sokongan kepada individu yang mengalami nasib yang sama dengan beliau.

Kumpulan sokongan ini dibentuk dengan harapan pesakit tidak berasa keseorangan ketika mengharungi penderitaan selain mengharapkan suara pesakit HS didengari pihak kerajaan bagi membolehkan mereka mendapat rawatan lebih sempurna.

INFO: Hidradenitis Suppurativa

- Penyakit kronik radang akar rambut yang berulang-ulang

- Ditemui lebih 170 tahun lalu.

- Berlaku di kawasan lipatan seperti ketiak, pangkal paha, punggung dan di bawah payu dara.

- Tidak berjangkit

Rawatan

- Sehingga kini tiada rawatan

- Suntikan dan antibiotik hanya mengawal penyakit saja.

Kesan

# fizikal:

- Pesakit tidak mampu bergerak disebabkan kesakitan yang ditanggung.

- Pergerakan terhad

# mental:

- Malu

- Tertekan

- Sukar bergaul kerana bau dialami

Kumpulan sokongan Hidradenitis Suppurativa

- Ditubuhkan hasil kerjasama Persatuan Dermatologi Malaysia dan Abbvie

- Layari facebook Hidradentis Suppurativa Support Group Malaysia

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X