Khamis, 11 Ogos 2016 | 1:32pm

Celcom Axiata, RISDA jalin kerjasama tawar Xpax@KKLW


Ketua Pegawai Eksekutif Celcom Axiata, Datuk Seri Shazalli Ramly. - Foto Yazit Razali

KUALA LUMPUR: Celcom Axiata Bhd memeterai perjanjian persefahaman (MoU) dengan RISDA bagi memberi kemudahan komunikasi pakej jalur lebar tanpa had, Xpax@KKLW kepada komuniti RISDA.

Ketua Pegawai Eksekutif Celcom Axiata, Datuk Seri Shazalli Ramly, berkata kerjasama itu sejajar dengan matlamat ke arah pemodenan komuniti RISDA yang terdiri daripada lebih 500,000 pekebun kecil di seluruh negara.

"Xpax@KKLW adalah inisiatif berterusan daripada Celcom Axiata dalam mengukuhkan lagi rangkaian dan liputan khusus di kawasan pedalaman.

"Kami yakin Xpax@KKLW akan membuka luas gerbang maklumat dan mempertingkatkan pengetahuan serta pelbagai kemungkinan yang boleh dicapai oleh komuniti RISDA menerusi kemudahan yang disediakan," katanya pada Majlis Menandatangani MoU antara Celcom Axiata dan RISDA di sini, hari ini.

Memeterai MoU itu, Celcom Axiata dan RISDA masing-masing diwakili Shazalli dan Pengerusinya, Datuk Zahidi Zainal Abidin.

Hadir sama menyaksikan majlis itu Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Pek sim Xpax@KKLW itu dijangka dijual di 250 premis perniagaan terpilih di bawah RISDA bermula September ini.

Menerusi perjanjian itu, komuniti RISDA akan menikmati internet asas percuma tanpa had bagi aplikasi mesej, aplikasi sosial dan pakej panggilan suara tanpa had dengan caj maksimum RM20 sebulan.

Berita Harian X