Rabu, 10 Ogos 2016 | 8:43pm

Penyokong Tok Gajah desak Razip dipecat

ANTARA penyokong yang berhimpun di perkarangan Stadium Darul Makmur, Kuantan, bagi menyatakan rasa kurang senang dengan prestasi semasa skuad kesayangan mereka dalam mengharungi kempen Liga Malaysia (Liga M) setakat ini. - Foto Luqman Hakim Zubir
ANTARA penyokong yang berhimpun di perkarangan Stadium Darul Makmur, Kuantan, bagi menyatakan rasa kurang senang dengan prestasi semasa skuad kesayangan mereka dalam mengharungi kempen Liga Malaysia (Liga M) setakat ini. - Foto Luqman Hakim Zubir

KUANTAN: Kira-kira 50 penyokong setia pasukan Pahang berhimpun secara aman di perkarangan Stadium Darul Makmur, dekat sini, bagi menyatakan rasa kurang senang dengan prestasi semasa skuad kesayangan mereka dalam mengharungi kempen Liga Malaysia (Liga M) setakat ini.

Mereka mendesak tindakan segera diambil Persatuan Bola sepak Negeri Pahang (PBNP) bagi memulihkan kembali imej skuad Tok Gajah yang tercalar teruk apabila menghuni tangga tercorot Liga Super dan hampir pasti tersingkir dari saingan Piala Malaysia musim ini.

Wakil Jawatankuasa Bertindak Bantahan Peminat dan Penyokong PBNP, Mohd Jusri Abd Kadir berkata, peminat bola sepak Pahang sudah bosan menunggu kebangkitan pasukan kesayangan mereka seperti dijanjikan jurulatih, Razip Ismail.

"Razip Ismail bukan orang yang layak mengendalikan skuad Tok Gajah... prestasi beliau ketika bersama Kuala Lumpur dan Harimau Muda C jelas tidak cemerlang.

"Saya tidak faham bagaimana pihak pengurusan PBNP boleh memilih dan melantik beliau sebagai Ketua Jurulatih Pahang.

"Kami harap pihak pengurusan tertinggi PBNP mendengar luahan peminat dan penyokong setia Pahang... sebelum pasukan ini tersingkir daripada saingan Liga Super musim ini," katanya.

Mohd Jusri turut menyerahkan memorandum bantahan kepada wakil PBNP untuk disampaikan kepada pihak pengurusan.

Katanya, memorandum mengandungi 14 tuntutan itu wajar diberi perhatian serius oleh PBNP jika mereka ingin memastikan penyokong terus memenuhi stadium setiap kali perlawanan berlangsung.

"Kita sudah senaraikan 14 perkara yang perlu PBNP ambil perhatian segera... antaranya, barisan kejurulatihan diketuai Razip gagal menerapkan semangat kekeluargaan dalam pasukan, gagal menyelesaikan masalah dihadapi pasukan dengan segera.

"Dia juga gagal melakukan sistem penggiliran pemain dengan baik hingga mengakibatkan ramai pemain tidak mendapat rehat secukupnya dan memberi kesan ketika beraksi.

"Beliau juga gagal mengenal pasti posisi dan kebolehan sebenar pemain, tidak mesra dengan peminat dan penyokong serta lebih berminat menyalahkan pemain setiap kali Pahang tewas," katanya.

Berita Harian X