Selasa, 9 Ogos 2016 | 10:03pm

Dadah: 3 rakyat Malaysia ditahan di Lombok


TIGA rakyat Malaysia ditahan di Lapangan Terbang Lombok kerana membawa 1.982 Gram dadah jenis methamphetamine. - Foto Ihsan KOMPAS.com

KUALA LUMPUR: Tiga rakyat Malaysia termasuk seorang wanita ditahan selepas cuba membawa masuk 1.9 kilogram dadah syabu ke Lombok, Mataram, Indonesia, kelmarin.

Ketiga-tiga mereka berusia antara 21 dan 24 tahun, ditahan oleh Badan Narkotik Kebangsaan Indonesia (BNN) Nusa Tenggara Barat dengan kerjasama Polis Republik Indonesia (POLRI) dan Tentera Nasional Indonesia (TNI).

Suspek terbabit diberkas hasil maklumat dan risikan awal yang diterima BNN berhubung cubaan menyeludup masuk dadah berkenaan oleh penumpang pesawat dari Kuala Lumpur ke Lombok.

Ketua Bahagian Kastam dan Eksais Mataram, Himawan Indarjono, berkata berdasarkan maklumat yang ada, pihaknya melakukan pemantauan di Lapangan Terbang Antarabangsa Lombok, di balai ketibaan.

"Sebaik pesawat berkenaan yang berlepas dari Kuala Lumpur pada jam 9 pagi dan tiba sekitar jam 12 tengah hari, kita mengesan tiga suspek itu dalam keadaan mencurigakan.

"Mereka kemudian ditahan dan diperiksa sebelum kami terbau sesuatu yang begitu kuat dari kangkang ketiga-tiga suspek dan mendapati dadah disembunyikan dalam seluar dalam," katanya kepada media kompas hari ini.

Berita Harian X