Selasa, 9 Ogos 2016 | 5:52pm

Dua beranak dipercayai pengedar dadah ditahan

KETUA Polis Daerah Dungun, Superintendan Ahmad Zailani Yaacub (kanan) menunjukkan dadah jenis heroin yang dirampas selepas menyerbu sebuah rumah di Paka. - Foto Rosli Ilham
KETUA Polis Daerah Dungun, Superintendan Ahmad Zailani Yaacub (kanan) menunjukkan dadah jenis heroin yang dirampas selepas menyerbu sebuah rumah di Paka. - Foto Rosli Ilham

DUNGUN: Polis menahan dua beranak serta empat yang lain dipercayai pengedar dadah selepas menyerbu sebuah rumah di Jalan Santong Paka, di sini, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Ahmad Zailani Yaacub, berkata dalam serbuan kira-kira jam 2.30 petang oleh sepasukan sepasukan pegawai dan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis daerah Dungun, lelaki berusia 47 tahun itu ditahan bersama tiga lagi lelaki di ruang tamu rumah milik lelaki itu.

Beliau berkata, anak lelaki suspek berusia 22 tahun dan teman wanita anaknya itu pula ditahan ketika berada dalam sebuah bilik di rumah itu.

"Sebaik menyedari kehadiran polis, suspek dikatakan cuba membuang satu bekas plastik hijau mengandungi serbuk putih dipercayai dadah melalui tingkap rumah, namun berjaya dirampas polis.

"Dalam serbuan itu, pihaknya merampas serbuk putih dipercayai dadah jenis heroin dianggarkan seberat 167 gram. Dadah bernilai RM5,200 itu dipercayai digunakan sendiri oleh suspek serta dijual kepada pengedar di sekitar kawasan itu," katanya.

Ahmad Zailani berkata, semua suspek yang ditahan kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis daerah untuk siasatan lanjut dan suspek akan disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Berita Harian X