Selasa, 9 Ogos 2016 | 12:00pm

China dikatakan bina tempat simpan pesawat di Spratly

PANDANGAN udara Fiery Cross. - Foto Reuters

WASHINGTON: Gambar-gambar satelit terbaharu menunjukkan China membina tempat menyimpan pesawat di lokasi dekat Kepulauan Spratly di Laut China Selatan yang dipertikaikan, lapor New York Times semalam.

Tiada pesawat tentera dilihat ketika gambar-gambar itu diambil pada akhir Julai lalu tetapi binaan itu mempunyai ruang untuk mana-mana jet pejuang tentera udara China, kata Times yang memetik analisis gambar oleh kumpulan pemikir Pusat Strategik dan Kajian Antarabangsa CSIS) yang berpangkalan di Washington .

Hangar kapal terbang itu dibina di Fiery Cross, Subi dan Mischief Reefs, sebahagian daripada Kepulauan Spratly.

China menuntut sebahagian besar daripada Laut China Selatan, laluan kapal dagang dengan nilai lebih AS$5 trilion (RM20 trilion) setiap tahun.

Filipina, Vietnam, Malaysia, Taiwan dan Brunei turut mempunyai tuntutan bertindih.

Imej-imej itu muncul kira-kira sebulan selepas mahkamah antarabangsa di The Hague memutuskan untuk menolak tuntutan China ke atas seluruh rantau yang kaya dengan sumber itu. - Reuters

Berita Harian X