Selasa, 9 Ogos 2016 | 11:06am

Anggota PERHILITAN cedera diserang PATI

JERANTUT: Seorang anggota Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) cedera parah ditetak pendatang asing tanpa izin (PATI) ketika melakukan operasi di kawasan Taman Negara Ulu Tembeling, dekat sini, malam tadi.

Difahamkan, anggota berkenaan cedera di tangan dan bibir selepas diserang seorang daripada kumpulan PATI itu kira-kira jam 10 malam dalam usaha meloloskan diri dari operasi terbabit.

Sumber berkata, operasi Rangkaian Penguatkuasaan Biodiversiti 1Malaysia (1MBEON) yang dijalankan bersama PERHILITAN dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) memasuki kawasan penempatan Orang Asli Kampung Bantal, dekat sini selepas mendapat maklumat mengenai kewujudan kumpulan PATI yang dipercayai bekerja di kawasan berhampiran.

"Usaha untuk membawa keluar mangsa sedang dilakukan dan dijangka mengambil masa kerana keadaan bentuk muka bumi dan laluan yang hanya boleh dilalui kenderaan jenis pacuan empat roda," katanya. 

Berita Harian X