Ahad, 7 Ogos 2016 | 6:33pm

Timur Iskandar Malaysia tumpuan pembangunan


MENTERI Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin (tengah) diiringi Pengarah Urusan Kumpulan Mah Sing, Tan Sri Leong Hoy Kum (tiga dari kiri) melihat pelan pembangunan projek ketika majlis perasmian Projek Meridin East di Galeri Jualan Meridin East, Jalan Kong Kong, Masai. - Foto Hairul Anuar Abd Rahim

PASIR GUDANG: Kawasan timur wilayah pembangunan Iskandar Malaysia terus menjadi tumpuan pelabur dengan beberapa projek perbandaran dirancang untuk tempoh 20 tahun akan datang.

Selain Sime Darby dan Seri Alam Properties, kawasan terbabit turut menarik minat Mah Sing Group Bhd untuk melaksanakan pembangunan bercampur, merangkumi kediaman dan komersial dengan anggaran nilai pembangunan kasar (GDV) RM5 bilion.

Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata pembangunan di kawasan itu selaras hasrat kerajaan yang mahu semua kawasan Iskandar Malaysia dibangunkan dengan menumpukan kawasan perumahan yang lestari dan mampan.

"Sejak kebelakangan ini banyak tumpuan pelaburan juga dilakukan di timur Iskandar Malaysia, tidak hanya di sebelah barat. Timur juga sudah mula diterokai dan dibuka. Sebelum ini ada Sime Darby dan Seri Alam Properties dan kini ada Mah Sing.

"Ini bermakna secara keseluruhan, dalam kita membangunkan kawasan Iskandar Malaysia dan bandar raya Johor Bahru, seperti yang saya tekankan bahawa kawasan perumahan memainkan peranan besar, khususnya menyumbang kepada apa yang kita mahu untuk sesebuah bandar raya," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan projek Meridin East di Kong Kong, dekat sini, hari ini.

Yang turut hadir Setiausaha kerajaan Johor, Datuk Ismail Karim; Pegawai Daerah Johor Bahru, Abdul Halim Hasbullah dan Pengerusi Mah Sing, Tan Sri Yaacob Mat Zain.

Sementara itu, Yaacob berkata, dengan keluasan 525.5 hektar, Meridin East adalah bandar terbesar yang dibangunkan oleh Mah Sing dan menjadi hartanah pegangan bebas yang terbahagi kepada lima fasa dan dijangka siap sepenuhnya dalam tempoh 12 hingga 15 tahun.

Katanya, Meridin East dibangunkan dengan konsep yang dapat memenuhi keperluan penduduk dengan menyediakan kemudahan yang diperlukan untuk menjadikannya sebuah bandar yang lengkap dan mampan.

"Kediaman berpagar dan persekitaran hijau yang subur menjadi tarikan utama Meridin East. Di tengah bandar eko ini terletak Tasik Mulberry iaitu tasik semula jadi sepanjang 50 meter yang menjadi nadi ekologi Meridin East," katanya.

Beliau berkata, di bawah projek Meridin East, Mah Sing melancarkan 'Greenway' dan 'Eden' iaitu rumah teres dua tingkat yang masing-masing mempunyai 161 unit dengan harga bermula RM357,000.

Katanya, pembabitan Mah Sing dalam 16 tahun pembangunan hartanah di Johor bermula daripada projek Sri Pulai Perdana di Johor Bahru yang merangkumi tanah perbandaran seluas 121.1 hektar.

FAKTA

- Projek pembangunan Meridin East dalam tempoh 15 hingga 20 tahun.

- Kawasan pembangunan seluas 525.5 hektar

- Kawasan seluas 44 hektar diwarta untuk tujuan rekreasi

 

Berita Harian X