Ahad, 7 Ogos 2016 | 12:31pm

Jepun protes China pasang radar di perairan dipertikaikan


PERTIKAIAN perairan di antara Jepun dan China di Laut China Timur. - Foto AP

TOKYO: Jepun memfailkan bantahan kepada Beijing selepas mendapati China memasang peralatan radar di platform cari gali gas berhampiran dengan perairan yang dipertikaikan di Laut China Timur, kata jurucakap Kementerian Luar Jepun hari ini.

Jepun bimbang jenis radar yang biasa ditemui di atas kapal peronda yang bukan khusus untuk pembangunan cari gali gas, menjadi petanda China merancang untuk menggunakan platform gas di perairan yang dipertikaikan sebagai stesen tentera, lapor media Jepun.

Menurut jurucakap itu, Jepun menemui radar berkenaan pada akhir Jun dan mengeluarkan bantahan pada Jumaat melalui kedutaannya di China, menggesa Beijing untuk menjelaskan tujuannya.

Sejak awal lagi, Jepun menggesa China untuk menghentikan pembinaan platform cari gali minyak dan gas di Laut China Timur, menuduhnya melakukan pembangunan bersifat satu pihak walaupun tertakluk kepada perjanjian 2008 untuk mengekalkan kerjasama dalam pembangunan sumber di kawasan itu, di mana tiada sempadan rasmi antara mereka tersedia setakat ini.

Semalam, Jepun mengeluarkan satu lagi bantahan kepada Beijing selepas kapal pengawal pantai China dan kira-kira 230 bot nelayan belayar dekat dengan perairan sekitar pulau-pulau kecil yang dipertikaikan di Laut China Timur.

Protes terbaharu itu menambah ketegangan di antara kedua negara jiran di Asia itu, kurang sebulan selepas mahkamah timbang tara di The Hague menolak tuntutan China di Laut China Selatan. - Reuters

Berita Harian X