Sabtu, 6 Ogos 2016 | 10:25pm

Terkini: 2 rentung kemalangan babitkan bas ekspres


DUA rentung dalam kemalangan membabitkan sebuah bas ekpres dengan kereta di Kilometer (KM) 447.7 Lebuh raya Utara Selatan arah selatan berhampiran Rawang Selatan-Hospital Sungai Buloh, malam tadi. - Foto ihsan bomba

KUALA LUMPUR: Dua orang dilaporkan rentung dalam kemalangan membabitkan sebuah bas ekspres dengan kereta di Kilometer (KM) 447.7 Lebuh raya Utara Selatan arah selatan berhampiran Rawang Selatan-Hospital Sungai Buloh, malam tadi.

Difahamkan, mangsa yang rentung ialah pemandu dan penumpang kereta terbabit.

Kejadian jam 8.23 malam itu dipercayai berlaku apabila bas berkenaan melanggar kereta jenis Proton Wira Aeroback, menyebabkan kedua-dua kenderaan itu terbakar.

Difahamkan juga, terdapat 15 penumpang di dalam bas berkenaan dan seorang pemandu namun, semua dilaporkan selamat.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Mohd Sani Harul, berkata 14 anggota bersama tiga jentera dari Balai Bomba Rawang dan Kuala Kubu Bharu dikejarkan ke lokasi kejadian bagi membantu operasi menyelamat.

"Terdapat dua mangsa rentung namun, identiti mereka belum dikenal pasti. "Operasi masih dijalankan bagi mengeluarkan mangsa yang rentung," katanya.

Sementara itu, Twitter @plustrafik, melaporkan kejadian menyebabkan lorong tengah lebuh raya terhalang.

Trafik turut dilaporkan sesak menghala selatan sepanjang lebih dua kilometer.

Berita Harian X