Sabtu, 6 Ogos 2016 | 12:07am

FOMEMA diarah pertingkat saringan mental pekerja asing


Kuala Lumpur: Agensi Pemantauan dan Pemeriksaan Perubatan Pekerja Asing (FOMEMA) sudah diarah mempertingkatkan saringan kesihatan mental terhadap semua pekerja asing di negara ini, berbekalkan panduan ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Bahagian Kawalan Penyakit KKM dalam kenyataannya, berkata  walaupun normal dalam saringan awal, namun tahap kesihatan mental pekerja asing boleh berubah ketika bekerja di sini, bergantung kepada pelbagai faktor termasuk tekanan di tempat kerja dan lain-lain.

"Justeru itu, adalah menjadi tanggungjawab majikan untuk membawa pekerja asing mereka menjalani penilaian dan mendapatkan rawatan, sekiranya menunjukkan perubahan dalam aspek mental dan tingkah laku.

"Dalam hal ini, majikan perlu sensitif terhadap tekanan yang dialami pekerja masing-masing dan turut membantu menangani masalah berkenaan," kata bahagian itu dalam kenyataan yang dikeluarkan kepada BH, semalam.

Kenyataan itu merujuk kepada pendedahan BH mengenai peningkatan masalah mental dalam kalangan pekerja warga asing, khususnya amah Indonesia menyebabkan ramai dirujuk kepada Wad Psikiatri HKL.


MAJIKAN perlu sensitif terhadap tekanan yang dialami pekerja masing-masing dan turut membantu menangani masalah berkenaan. - Foto Nazran Jamel

Sementara itu, Pegawai Pemulihan Persatuan Kesihatan Mental Malaysia, Nurhijjah Mat Zin, berkata warga asing biasanya sudah menghafal jawapan standard untuk melepasi saringan mental membuatkan prosedur temubual sejarah masalah mental tidak mencukupi.

Beliau berkata, sepatutnya ada tempoh pemantauan tingkah laku oleh pakar psikiatri dalam wad untuk mengetahui masalah dan simptom berkaitan gangguan mental.

"Temubual tidak boleh terhad kepada pemohon itu sahaja, sebaliknya maklumat daripada beberapa sumber sahih termasuk ahli keluarga juga penting untuk mengesahkan dia bersih dari sebarang masalah mental.

"Temubual sahaja berdepan kekangan mendapatkan maklumat sebenar, kecuali bagi kes ketara contohnya percakapan tidak konsisten atau tingkah laku tertentu yang memudahkan doktor merujuk kepada ujian klinikal dan diagnos.

"Masalah mental sukar dikesan jika dia menunjukkan tekanan apabila bersendirian atau menjadi agresif apabila terkenang trauma yang pernah dilalui," katanya.


PEGAWAI Pemulihan Persatuan Kesihatan Mental Malaysia, Nurhijjah Mat Zin.

Nurhijjah yang juga kaunselor psikiatri, mencadang kerajaan mewujudkan pusat mental negara, sebagaimana penubuhan institut jantung dan pusat kanser negara sebagai persediaan menjelang tahun 2020.

Katanya, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menjangkakan masalah mental adalah penyakit kedua tertinggi di dunia dengan nisbah satu daripada enam orang di dunia, memiliki simptom gangguan.

"Pusat mental negara jika ditubuhkan, boleh menjadi penyelaras kepada semua agensi yang berkaitan masalah kesihatan itu," katanya.

Sementara itu, kerajaan terpaksa menanggung pelbagai beban termasuk hutang rawatan terhadap 80 peratus pesakit mental warga asing yang masuk secara tidak sah, tetapi menerima rawatan khususnya di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Selain gagal melunaskan kos rawatan, pihak berkuasa turut berdepan masalah menghantar mereka pulang kerana tidak diperakui mana-mana kedutaan, menambahkan beban sepanjang mereka 'terperangkap' di negara ini.


TAHAP kesihatan mental pekerja asing boleh berubah ketika bekerja di negara ini bergantung kepada pelbagai faktor, termasuk tekanan di tempat kerja dan lain-lain. - Foto Surianie Mohd Hanif

Ia adalah kesan daripada kemasukan secara tidak sah tanpa saringan awal terhadap kesihatan mental pekerja asing dan lebih teruk apabila penyakit itu hanya serius ketika berada di negara ini.

Ketua Jabatan dan Pakar Perunding Psikiatri HKL, Dr Salina Abdul Aziz, menyifatkan lambakan pesakit mental warga asing di sini berpunca majoritinya pendatang tanpa izin dan tiada saringan awal. 

Katanya, saringan mental terutama oleh agensi pekerja asing perlu bagi memastikan mereka yang benar-benar waras dan mampu menyumbang, dibawa masuk bekerja di negara ini.

"Paling lama pesakit mental warga asing yang ditahan dalam wad adalah 112 hari sebelum diambil pihak Imigresen sama ada dihantar ke depoh atau dihantar pulang ke negara mereka.

"Bagaimanapun, jika dihantar ke depoh, persekitarannya akan menyebabkan penyakit mental dihadapi mereka berulang kerana tiada pakar memantau pemberian ubat," katanya.


MASALAH mental sukar dikesan jika pesakit menunjukkan tekanan apabila bersendirian atau menjadi agresif apabila terkenang trauma yang pernah dilalui. -Foto Saddam Yusoff

Dr Salina berkata, warga asing yang tidak memiliki dokumen terpaksa ditempatkan lama dalam wad, menyebabkan kemudahan katil terhad dan menjejaskan kemudahan warga tempatan.

Katanya, jika pesakit mental terbabit dilepaskan dalam komuniti, mereka mungkin boleh membahayakan diri sendiri dan orang awam.

"Namun, kos ubat dan rawatan masalah mental yang mahal, terpaksa ditanggung kerajaan selagi mereka berada dalam pusat perubatan.

"Rawatan dan ubat setiap pesakit mental berbeza, ada sesetengahnya terpaksa mengambil ubat berharga RM8 sebiji atau menjalani terapi elektro yang komprehensif bernilai ribuan ringgit," katanya.

Justeru itu, beliau mencadangkan satu dana khas diwujudkan pihak tertentu atau badan bukan kerajaan untuk membantu penghantaran pulang pesakit asing, mampu meringankan beban kerajaan.

Fakta: Tunggakan kos rawatan warga asing di HKL sepanjang 2015 hingga Mac 2016

Jumlah pesakit: 10,173

Tunggakan bil: RM2.13 juta

Berita Harian X