Rabu, 3 Ogos 2016 | 8:39pm

Projek cendawan tarikan baharu Keningau

Timbalan Ketua Menteri yang juga Menteri Pertanian dan Industri Makanan negeri, Datuk Yahya Hussin (tengah) ketika meninjau projek tanaman cendawan shiitake yang diusahakan Korporasi Pembangunan Desa (KPD) di Kilometer (KM) 54.2, Jalan Kimanis-Keningau. Turut hadir, Pembantu Menteri Pertanian dan Industri Makanan negeri, Datuk Sairin Karno (dua dari kiri) dan Pengerusi KPD, Datuk Saddi Abdul Rahman (dua dari kanan). - Foto Malai Rosmah Tuah

KENINGAU: Projek penanaman cendawan diusahakan Korporasi Pembangunan Desa (KPD) di kawasan tanah tinggi Jalan Kimanis-Keningau, di sini, berpotensi dikembangkan sebagai produk agro pelancongan baharu di daerah ini.

Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Yahya Hussin, berkata penanaman cendawan 'Shiitake' sejak tahun lalu itu memang sesuai kerana terletak di lokasi sejuk dan pemandangan indah. 

Beliau yang juga Menteri Pertanian dan Industri Makanan negeri, berkata usaha itu dapat mempelbagaikan sumber pendapatan peserta projek, selain menjana aktiviti perniagaan sampingan di kawasan berkenaan. 

"Projek ini bukan saja memberi pendapatan kepada peserta dari kalangan penduduk kampung berpendapatan rendah, malah kedudukannya di kawasan tanah tinggi sesuai dijadikan persinggahan pelancong. 

"Selain cendawan, KPD juga boleh menanam tanaman lain seperti buah-buahan dan membuka pusat maklumat mengenai cendawan sebagai tarikan sampingan untuk menarik pengunjung," katanya ketika meninjau projek terbabit di Kilometer 54.2 Jalan Kimanis-Keningau, di sini hari ini. 

Yang turut hadir, Pembantu Menteri Pertanian dan Industri Makanan negeri, Datuk Sairin Karno; Pengerusi KPD, Datuk Saddi Abdul Rahman; Pengurus Besar KPD, Datuk Datu Basrun Datu Mansur dan Pengurus Projek Cendawan KPD, Siti Hawa Hajira Mohamed Husin. 

Yahya berkata, tanaman cendawan di negeri ini mempunyai pasaran yang baik termasuk menembusi Sarawak dan Brunei, malah permintaan terhadap produk itu sentiasa tinggi berbanding pengeluaran yang masih terhad.

Sehubungan itu, beliau berkata, pihaknya bersetuju dengan cadangan menjadikan kawasan berhampiran jalan di antara Kilometer 50 hingga Kilometer 56 Jalan Kimanis-Keningau sebagai Zon Pemeliharaan Cendawan selain menambah keluasan tanah sedia ada. 

Sementara itu, Siti Hawa berkata, KPD diberi tapak seluas kira-kira lapan hektar untuk penanaman cendawan di kawasan berkenaan, namun hanya satu hektar dapat diusahakan, manakala selebihnya tidak dapat dibuka kerana tanah curam. 

"Seramai 15 peserta diambil melaksanakan projek ini menerusi konsep perladangan kontrak dan memperoleh pendapatan antara RM400 hingga RM1,500 sebulan. Hasil tuaian setahun mencecah RM28,000 menerusi pengeluaran dua tan cendawan," katanya. 

Kawasan tanah tinggi di Jalan Kimanis-Keningau adalah lokasi pengeluaran cendawan tanah tinggi ketiga di Sabah selepas Kundasang di Ranau dan Moyog di Penampang.

Berita Harian X