Selasa, 2 Ogos 2016 | 12:05am
HAFIZA Abdul Hamid.

Rekaan motif bunga

Motif bunga malar segar jadi pilihan.

PALING ketara mengenai koleksi raya jenama Minaz daripada pereka muda, Hafiza Abdul Hamid, 31 ialah permainan motif bunga yang diadun ke atas fabrik pastel seperti biru laut dan merah muda.

Sedikit berbeza untuk koleksi ditampilkan pereka ini, apabila beliau mereka sendiri fabrik, corak dan jenis fabrik yang akan digunakan untuk setiap helaian Minaz dan itulah keistimewaan mahu ditonjolkan gadis muda ini.

Lulusan Perakaunan daripada Universiti Teknologi MARA (UiTM) ini menyertai dunia rekaan sejak tahun 2010 dan menampilkan kelainan menjadikan himpunan diketengahkan sering mendapat sambutan bagi mereka yang meminati motif floral.

"Pada saya, motif bunga ini malar segar. Apabila saya gandingkan motif ini atas fabrik berwarna lembut seperti biru air, merah muda dan ungu, ia cukup untuk menjadikan wanita kelihatan anggun.

Malah sarat dengan gaya kewanitaan yang romantis," katanya pada Rayalution: Zalora Raya Festival 2016 baru-baru ini.

HAFIZA teruja kali pertama bekerjasama dengan Zalora.

Kerjasama dengan Zalora

Kali pertama bekerjasama dengan Zalora, beliau mengakui sangat teruja dan menyifatkan ia sebagai satu medium paling pantas memperkenalkan jenama itu ke peringkat global.

"Bersaing dalam dunia rekaan bukan mudah. Selain memiliki identiti dalam rekaan, perlu bagi pereka itu mencuba atau menyertai pelbagai medium untuk dikenali.

Selain memiliki butik di Bangi, dan menjalankan urus niaga dalam talian, saya turut mencuba kerjasama dengan Zalora ini dan saya fikir ia kerjasama yang baik.

"Disebabkan koleksi ini terhad iaitu kurang daripada 100, saya berharap peminat motif bunga akan segera membeli jenama ini," katanya.

Koleksi ini termasuk kurung moden, jubah dan selendang yang turut diperinci dengan hiasan kuntuman bunga.

Berita Harian X