Selasa, 2 Ogos 2016 | 12:03am

Kertas iringi peradaban manusia


PENGGUNAAN meningkat biarpun kemajuan teknologi menjurus kepada dunia tanpa kertas.

KERTAS yang dihasilkan dengan komposisi serat yang berasal dari pulpa, biasanya diperoleh dari sumber semula jadi seperti pokok.

Penggunaan kertas kini meluas bukan sahaja dalam bidang penulisan, malah segenap bidang yang lain dengan pelbagai tujuan penggunaan hariannya.

Kewujudan kertas juga dianggap satu revolusi baru dunia penulisan yang memberi makna cukup besar dalam peradaban dunia.

Catatan sejarah menunjukkan sebelum kemunculannya, masyarakat terdahulu menggunakan perkakas dari tanah liat yang dibakar untuk membuat satu coretan di atasnya, selain batu, kulit binatang dan daun.

Biarpun ramai beranggapan kemajuan dunia teknologi maklumat akan menjurus kepada masyarakat global tanpa kertas, namun permintaan terhadap produk itu sebenarnya terus berkembang terutama di negara membangun, termasuk Malaysia.


KEWUJUDAN kertas dianggap satu revolusi baru dunia penulisan yang memberi makna cukup besar dalam peradaban dunia.

Keadaan ini menyebabkan penyelidikan dan pembangunan (R&D) dibuat bagi mencari sumber tumbuhan baharu penghasilan kertas, untuk mengurangkan kebergantungan kepada kayu.

Antaranya, kajian dibuat sekumpulan penyelidik Universiti Tun Hussein Onn (UTHM) pada 2013 terhadap batang pisang awak, mendapati seratnya boleh dimanfaatkan bagi penghasilan kertas.

Satu lagi penemuan adalah dari daun lalang ciptaan sekumpulan pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Kuantan pada 2012, sehingga mendapat pengiktirafan antarabangsa apabila memenangi pingat emas pada Pameran Palexpo di Geneva, Switzerland.

Projek diberi nama 'Imperata Cylinderica Paper' itu menghasilkan kertas lebih tahan lasak dan mesra alam berbanding kertas sedia ada, selain berpotensi menghasilkan beberapa produk lain berasaskan kertas.

Di rantau Asia Tenggara, Indonesia adalah negara pengeluar kertas terbesar yang dipelopori Asia Pulp & Paper (APP), bermula sejak 1972 dan mampu menghasilkan produk berasaskan kertas termasuk tisu dengan kapasiti pengeluaran sebanyak 19 juta tan setahun.


PENGGUNAAN kertas kini meluas bukan sahaja dalam bidang penulisan, malah segenap bidang yang lain dengan pelbagai tujuan penggunaan hariannya.

Namun, isu dihadapi Indonesia sejak kebelakangan ini adalah memastikan kawasan ladang penanaman pokok bagi penghasilan kertasnya bebas daripada sebarang aktiviti pembakaran terbuka, terutama ketika tiba musim el-nino.

Ini berikutan, kawasan seperti Pekan Baharu, Riau yang menempatkan kilang utama penghasilan produk kertas dan tisu bagi tujuan dieksport ke 120 negara seluruh dunia, adalah lokasi kerap merekodkan pembakaran terbuka sehingga mengundang jerebu rentas sempadan.

Bagi memastikan industri penghasilan kertas ini tidak mengundang masalah kepada alam sekitar, APP sudah mengambil inisiatif menggerakkan program Desa Makmur Peduli Api (DMPA) bagi mengurangkan impak pembakaran terbuka.

APP juga memperuntukkan kira-kira USD20 juta (RM80 juta) menerusi  Sinar Mas Forestry untuk menambah aset kelengkapan moden bertujuan mengesan dan memadamkan sebarang insiden kebakaran hutan di kawasan 'hotspot' di Indonesia.


DI rantau Asia Tenggara, Indonesia adalah negara pengeluar kertas terbesar.

INFO

Sejarah kertas:

  • Dalam bahasa Arab disebut 'Qirtas' iaitu kepingan Papirus.
  • Bahasa Inggeris disebut 'paper' merujuk perkataan latin 'papyrus'.
  • Nama saintifik Papirus adalah Cyperus papyrus, sejenis tumbuhan air, banyak didapati di Mesir, Ethiopia dan Jordan.
  • Penciptaan kertas pertama di China bermula pada 150 Masihi ketika Dinasti Han.
  • Liberia, Sepanyol dan Portugal adalah negara Eropah terawal yang menghasilkan kertas.
  • Pada 1799, seorang rakyat Perancis, Nicholas Louis Robert menemukan proses membuat lebaran kertas menggunakan mesin fourdrinier.
  • Pada 1826, mesin pengewapan silindir pertama kali digunakan dalam proses pengeringan bagi penghasilan kertas.
  • Pada 1927 Amerika Syarikat mula menggunakan mesin Fourdrinier.
  • Pada 1814, seorang mekanik dari Jerman, Friedrich Gottlob Keller berjaya mencipta alat mekanik bagi membuat pulp dari kayu, namun kualitinya masih rendah.
  • Sekitar 1853-1854, dua penyelidik British, Charles Watt dan Hugh Burgess mengembangkan pembuatan kertas dengan menggunakan proses soda.

Sifat kertas

  • Mempunyai fizikal
  • Optikal
  • Mengandungi bahan kimia
  • Elektrikal
  • Mikroskopika


PERMINTAAN terhadap produk kertas sebenarnya terus berkembang terutama di negara membangun.

10 negara pengeluar kertas terbesar dunia

1- China (24.9 %)

2- Amerika Syarikat (18.8 %)

3- Japan (6.7%)

3- Jerman (5.7%)

4- Kanada (3%)

6- Korea Selatan (2.9%)

7- Finland (2.8%)

8- Sweden (2.8%)

9- Brazil (2.5%)

10- Indonesia (2.5%)

(Sumber : RISI-Pulp & Paper Industry 2009)

Jenis pokok yang digunakan bagi penghasilan kertas

1- Gmelina arborea

2- Acacia aulacocarpa

3- Eucalyptus pelita

(Sumber : APP)

Produk berasaskan kertas

  • Tisu
  • Mata wang
  • Alat bungkusan seperti kotak dan beg
  • Buku, majalah, akhbar
Berita Harian X