Ahad, 31 Julai 2016 | 6:38pm

PASFA sasar 4 tahun majukan sektor perniagaan, pertanian

MUSTAFFAR (dua dari kanan) menyerahkan sumbangan duit raya kepada kanak-kanak pada majlis Sambutan Aidilfitri UMNO Bahagian Indera Mahkota di Pusat Rekreasi Air Balok, Kuantan, hari ini. - Foto Farizul Hafiz Awang
MUSTAFFAR (dua dari kanan) menyerahkan sumbangan duit raya kepada kanak-kanak pada majlis Sambutan Aidilfitri UMNO Bahagian Indera Mahkota di Pusat Rekreasi Air Balok, Kuantan, hari ini. - Foto Farizul Hafiz Awang

KUANTAN: Lembaga Pertubuhan Peladang Pahang (PASFA) akan melaksanakan pelbagai langkah proaktif dalam tempoh empat tahun untuk memajukan sektor perniagaan dan pertanian diceburinya.

Pengerusinya, Datuk Mustaffar Kamal Ab Hamid berkata, pihaknya akan mengeluarkan satu produk baharu berasaskan nangka dalam masa terdekat yang akan dipasarkan ke seluruh Pahang.

"Ini adalah antara produk baharu dan dalam tempoh empat tahun, kita berharap dapat menguasai sektor perniagaan dan pertanian serta memperluaskan pasaran ke luar negara.

"Selain itu, kita juga akan memperbesarkan perusahaan sedia ada seperti projek ternakan ayam kampung dan kambing secara komersial di kawasan seluas 50 ekar di Taman Mahkota, Jalan Kuantan-Gambang, dekat sini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Sambutan Rumah Terbuka UMNO Bahagian Indera Mahkota di Pusat Rekreasi Air Balok, dekat sini, petang tadi.

Mustaffar Kamal yang juga Ketua UMNO Bahagian Indera Mahkota berkata, selain projek ternakan ayam kampung dan kambing, PASFA sudah mengusahakan ternakan lembu fidlot di kawasan berkenaan sejak awal tahun ini.

"Untuk projek ternakan (lembu) fidlot, kita sudah memiliki 750 lembu yang akan dijadikan benih lembu berkualiti untuk dijual kepada orang ramai," katanya.

Berita Harian X