Sabtu, 30 Julai 2016 | 4:25pm

India laksana semula perintah berkurung di Kashmir

ANGGOTA tentera melepaskan gas pemedih mata ke arah penunjuk perasaan di Srinagar, Kashmir.

SRINAGAR: Pihak berkuasa melaksanakan semula perintah berkurung bagi mengelak perarakan bantahan ke masjid utama di bandar utama Kashmir yang dikuasai India semalam.

Namun, demonstrasi dan pertempuran di jalanan masih berleluasa di berpuluh lokasi.

Ia susulan pembunuhan seorang ketua pemberontak yang membangkitkan kemarahan awal bulan ini.

Tentera terpaksa melepaskan tembakan ke arah penunjuk perasaan di sebuah kampung di daerah Kupwara utara, mencederakan sekurang-kurangnya tiga remaja lelaki yang menyerang kem mereka dengan batu dan cuba mencerobohnya.

Di kampung berhampiran, sekurang-kurangnya dua remaja cedera terkena pelet yang ditembak tentera kerajaan, kata seorang pegawai polis yang tidak mahu dikenali.

Perintah berkurung, berkuat kuasa semula selepas berakhir kelmarin. Ia dilaksanakan sejak 9 Julai lalu, sehari selepas Burhan Wani dibunuh oleh tentera kerajaan.

Pasukan keselamatan juga menghalang orang ramai daripada bersolat di masjid-masjid besar di seluruh wilayah ini, tetapi tidak mengganggu mereka yang melawat masjid-masjid kecil di kawasan luar bandar untuk solat Jumaat.

Kashmir, sebuah kawasan majoriti Muslim, terbahagi antara India dan Pakistan, tetapi kedua-dua menuntut sepenuhnya wilayah itu.

Kedua pihak pernah melalui dua peperangan untuk menawan Kashmir sejak memperoleh kemerdekaan daripada Britain pada tahun 1947. - Agensi

Berita Harian X