Khamis, 28 Julai 2016 | 11:41pm

Khairul Hafiz pecah rekod 14 tahun 200m SUKMA

KHAIRUL Hafiz mencatat 21.14 saat di pusingan separuh akhir acara 200m di Stadium Sarawak. - Foto BERNAMA
KHAIRUL Hafiz mencatat 21.14 saat di pusingan separuh akhir acara 200m di Stadium Sarawak. - Foto BERNAMA

KUCHING: Raja Pecut SUKMA, Khairul Hafiz Jantan, membuktikan seleranya belum berkurangan apabila berjaya memecahkan rekod kejohanan acara 200 meter (m), petang tadi, kurang 24 jam selepas mencipta rekod kebangsaan 100 m.

Catatan 21.14 saat (s) di pusingan separuh akhir acara 200 m di Stadium Sarawak itu mengatasi rekod 14 tahun milik bekas pelari pecut negara berasal dari Terengganu, Nazmizan Muhammad iaitu 21.33 s, yang dilakukan di Sukma 2002 di Sabah.

Persembahan cemerlang Khairul Hafiz itu pasti menjanjikan sesuatu yang menarik di final, yang akan diadakan pada pukul 9.30 pagi esok.

"InsyaAllah...saya akan cuba buat yang lebih baik esok," katanya kepada pemberita.

Atlet berusia 18 tahun dari Melaka itu pernah mencatat masa 21.01 s di separuh akhir Kejohanan Remaja Asia ke-17 di Ho Chi Minh, sebelum berpuas hati dengan 21.15 s di perlumbaan akhir untuk membawa pulang pingat perak.

Ketika ini, rekod kebangsaan 200 m masih milik Tan Sri M Jegathesan iaitu 20.92 s, yang dicatat di temasya Sukan Olimpik 1968 di Mexico.

Atlet muda itu kini menjadi sebutan selepas berjaya memecahkan rekod 100 m 10.30 s berusia 18 tahun milik Watson Nyambek dengan catatan baharu 10.18 s, semalam. - BERNAMA

Berita Harian X