Khamis, 28 Julai 2016 | 4:39pm

Peniaga didenda, penjara sehari rasuah penguat kuasa Imigresen

KUANTAN: Seorang peniaga didenda RM10,000 dan dipenjara sehari oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini kerana memberi rasuah RM500 kepada seorang penguat kuasa Imigresen pada Mac tahun lalu.

Hakim Datuk Habibah Mohamed Yusof menjatuhkan hukuman itu selepas Chong Kok Ming, 46, mengaku bersalah terhadap pertuduhan itu.

Habibah turut memerintahkan Chong menjalani hukuman penjara empat bulan jika gagal membayar denda itu. Dia yang diwakili peguam Simon Evanson membayar denda berkenaan.

Chong dituduh memberi suapan wang tunai kepada penguat kuasa Jabatan Imigresen Malaysia cawangan Temerloh Abdullah Zawawi Mat Junoh sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan undang-undang terhadap pekerja warganegara Bangladesh yang tidak mempunyai dokumen perjalanan sah.

Tertuduh melakukan perbuatan itu di sebuah premis di Jalan Boh Bt. 2 1/2 Ringlet, Cameron Highlands kira-kira 9.30 malam pada 16 Mac 2015.

Dia dituduh mengikut Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa SPRM, Mohd Faisal Ibrahim. - BERNAMA

Berita Harian X